Taat Pada Khalid Sehingga Tamat Tempoh – Zuhdi

Kuala Lumpur – Anggota jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki terus mengkritik rancangan PKR untuk menggantikan menteri besar Selangor sekarang.

Terkini, Zuhdi menerusi satu tulisan di laman Facebook menyeru agar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diberikan peluang menghabiskan tempoh pentadbirannya sehingga pilihan raya akan datang.

Tegasnya, ia selaras dengan satu hadis Nabi yang menyeru umat Islam mentaati pemimpin “selagi tidak disuruh kepada maksiat”.

“Demikian juga dalam kes Khalid Ibrahim, mari kita jadikan hadis itu panduan.

“Berikan mandat kepada dia, walaupun ada perkara yang kita suka dan ada perkara yang tidak suka, selagi mana dia tidak menyeleweng dan rasuah.

“Lepas tamat tempoh mandat, kita boleh lantik yang lain,” tulisnya.

Beliau sebelum ini menjadi perhatian apabila satu paparan skrin aplikasi kiriman mesej Whatapps yang terbocor mendedahkan dirinya secara aktif membincangkan mengenai kemungkinan senario parti itu meninggalkan Pakatan Rakyat.

Ini mungkin petunjuk terbesar setakat ini bahawa ancaman perpecahan Pakatan itu menjadi benar, apabila paparan skrin itu tersebar dalam Facebook yang menunjukkan ahli jawatankuasa PAS Mohd Zuhdi Marzuki sedang membincangkan bekerjasama dengan Umno.

Beliau, seorang pensyarah, menggariskan satu senario bagaimana PAS boleh keluar daripada Pakatan dan kemudian membentuk satu kerajaan dengan majoriti mudah di DUN Selangor melalui bantuan Umno, dengan mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

Perbualan yang berlaku dalam kumpulan WhatApps melibatkan semua pemimpin jawatankuasa PAS pusat.

Seorang anggota jawatankuasa yang tidak tidak mahu dinamakan, mengesahkan bahawa paparan skrin WhatApps itu adalah asli.

Beliau kemudiannya dalam Facebooknya tidak menafikan kandungan mesej tersebut sebaliknya menafikan beliau sebahagian daripada kumpulan itu yang membangkitkan idea meninggalkan Pakatan.

“Berikutan dengan perbincangan itu, saya mencadangkan supaya dibuat analisis senario apa yang akan berlaku jika PAS keluar PR dari segi kerajaan negeri yang PAS bersama di dalamnya, situasi penerimaan ahli-ahli dan lain-lain. Cadangan itu dialu-alukan dan mereka meminta saya mengemukakannya.

“Saya menegaskan saya tidak termasuk dalam senarai mereka yang menyokong usul keluar PR itu.

Semoga dengan penjelasan ini, nama saya dapat dibersihkan daripada tanggapan buruk pelbagai golongan ekoran sikap segelintir pihak di dalam PAS yang membangkitkan fitnah yang sedang tidur,” tulisan Mohd Zuhdi dalam Facebooknya dipetik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.