Polis Kenal Pasti Identiti Suspek Bom Bank

Kuala Lumpur – Polis telah mengenalpasti identiti salah seorang daripada dua suspek yang terlibat dalam cubaan menyamun sebuah bank di Jalan Melati 2b, di Bukit Beruntung pagi semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (Risikan dan Operasi), ACP Rooslan Radzi berkata, maklumat berkenaan suspek terbabit diperoleh daripada beberapa informasi yang dikumpul sejak semalam menerusi sumber dan bukti yang ditemui.

Menurut beliau, polis kini sedang bertindak memburu suspek yang dipercayai warga tempatan.

“Sasaran kita sekarang ini memburu salah seorang suspek yang dipercayai terbabit dalam cubaan menyamun bank tersebut.

“Kami percaya suspek akan dapat diberkas dalam masa terdekat,” katanya semalam.

Katanya, satu pasukan khas bagi menyiasat kes itu telah ditubuhkan dan pihaknya mempunyai fakta kukuh untuk mendakwa suspek yang terlibat.

Dalam pada itu, Rooslan berkata, penelitian pihaknya terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil dari bank berkenaan mendapati, suspek memakai topeng muka dan bersarung tangan.

Katanya, suspek melengkapkan diri dengan mengenakan topeng muka dan sarung tangan dengan tujuan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Namun, Rooslan berkata, polis mempunyai kaedah tersendiri untuk menjejak suspek yang tidak boleh didedahkan kepada umum.

Sementara itu beliau berkata, sebuah bom jenis pyrotechnic diperbuat menggunakan paip PVC yang tidak meletup dan diletakkan oleh suspek di luar bangunan bank itu, tidak dimusnahkan.

Sebaliknya Rooslan berkata, unit pemusnah bom (UPB) hanya melemahkan bom tersebut bagi tujuan untuk dijadikan sebagai bukti di mahkamah.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi Selasa, dua lelaki cuba melakukan samun di sebuah bank dengan meletakkan bom buatan sendiri di bahagian dalam dan luar bangunan.

Bagaimanapun, cubaan kedua-dua suspek itu gagal apabila bom yang diletakkan di mesin pengeluaran automatik gagal memecahkan mesin itu manakala sebuah lagi bom yang diletakkan di luar, tidak meletup.

kejadian letupan itu telah mengakibatkan bank berkenaan kerugian hampir RM500,000 akibat kerosakan teruk di beberapa bahagian seperti pintu cermin, mesin ATM, siling dan struktur bangunan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.