Penceramah ‘Serbuk Kari’ Mohon Maaf Kali Kedua Setelah Dibebas Dengan Jaminan Polis

Bukit Mertajam – Pendakwah bebas Ustaz Shahul Hamid yang sebelum ini menimbulkan kontroversi, memohon maaf buat kali kedua kepada seluruh kaum India di negara ini ekoran keterlanjurannya menghina kaum itu ketika menyampaikan ceramah agama di sebuah masjid beberapa tahun lalu.

Permohonan maaf itu dibuatnya pada satu sidang akhbar di Masjid Bandar Perda di sini yang turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya PAS, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Sebelum ini, beliau pernah membuat permohonan maaf yang sama menerusi rakaman video yang dimuat naik ke laman sosial Facebook.

“Di sini saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada seluruh penganut agama Hindu yang berasa sakit hati dengan apa yang telah saya ucapkan.

“Saya tidak berniat untuk menghina atau menghasut apatah lagi mahu menimbulkan ketegangan kaum kerana saya hanya cuba untuk menarik perhatian tentang ceramah saya kepada jemaah yang hadir di masjid berkenaan,” katanya.

Shahul turut merayu kepada semua yang telah membuat laporan polis terhadap beliau agar menarik balik laporan mereka itu serta memberikannya peluang kedua untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan.

“Saya dengan ikhlas meminta maaf kepada semua kaum India, saya kesal dengan kata-kata saya itu dan berjanji tidak akan melakukannya lagi,” katanya.

Beliau juga menyatakan hasrat untuk bertemu dengan para pemimpin masyarakat India untuk memohon maaf secara peribadi kepada mereka.

Sebelum ini, beberapa klip video Shahul memberi ceramah dipercayai di sebuah masjid di Pulau Pinang tersebar di media sosial hingga menimbulkan kemarahan komuniti India.

Dalam ceramah itu Shahul dilapor telah mengaitkan serbuk kari jenama Allagappas daripada syarikat Hindu yang kilangnya boleh dilihat sekiranya mereka yang hadir dalam ceramah membuat pusingan `U’ ketika melalui satu jalan di Pulau Pinang.

Klip yang menunjukan beliau berkata demikian telah diviralkan oleh pengguna media sosial dengan antaranya kandungannya “Jika anda pergi ke kilang Allagappas berhampiran Permatang Pauh, anda akan dapat lihat sebuah patung (dewa) di pintu masuk, dan lidah keluar. Mengapa lidah keluar? Kerana dewi mesti rasa semua serbuk kari sebelum mereka menjualnya. “

Selepas video tersebut mula tersebar, Shahul telah membuat permohonan maaf yang singkat di Facebook selepas menyedari ramai dari kalangan masyarakat India mengecamnya.

“Saya akui bahawa saya juga berketurunan India jadi saya dengan ikhlas meminta maaf kepada semua kaum India yang merasa terhina,” kata Shahul.

Beliau turut menggesa mereka yang telah memuat naik klip video pendek itu supaya memadamnya dengan segera,

Tambahnya, dia tidak sedar bahawa ucapan beliau di surau yang dibuat beberapa tahun lalu, telah direkodkan.

“Saya menyampaikan ucapan sebagai pendakwah agama jadi biarlah saya menjelaskan bahawa ia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan PAS atau mana-mana parti politik,” katanya.

“Saya menyampaikan ucapan mereka sebagai pendakwah, bukan sebagai ahli PAS, dan selain itu, saya tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti,”katanya.

Terdahulu, sebelum itu, Mujahid telah meminta semua pihak agar tidak memperbesarkan lagi perkara itu dan menghentikan penyebaran video tersebut.

Shahul telah dipanggil untuk memberi keterangan di Balai Polis Seberang Perai awal pada Khamis.

Beliau juga telah membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh menerusi panggilan telefon dari seseorang dan di Facebook ekoran kontroversi yang beliau timbulkan itu.

Di dalam perkembangan yang sama Pengerusi Lajnah Perpaduan Kebangsaan PAS, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa turut menjelaskan,

kenyataan provokatif dan bersifat perkauman terhadap penganut agama Hindu itu berbentuk peribadi dan tidak ada kena mengena dengan PAS sekali gus tidak menggambarkan pendirian PAS terhadap isu berkenaan.

“Saya tidak tahu motif video itu disebar semula, tambahan ceramah itu dibuat bertahun dahulu.

“Saya bertanggungjawab kerana Shahul Hameed merupakan ahli PAS Pulau Pinang. Bagaimanapun ceramahnya tidak mewakili PAS, ia bedasarkan pengetahuannya sebagai seorang pensyarah,” ujarnya ketika dipetik dari portal berita Malaysiakini.

Dr Mujahid mengulas isu klip video menunjukkan Shahul Hameed membuat kenyataan bersifat perkauman terhadap penganut agama Hindu yang dimuat naik di dalam laman YouTube.

Dalam pada itu jelasnya, semua pendakwah dinasihati untuk mengikut garis panduan dan tidak membuat sebarang kenyataan provokatif berunsur kaum.

“Kita akan membuat laporan kepada PAS pusat semasa perjumpaan pada 10 Ogos ini.

“Sebarang tindakan disiplin juga di luar kuasa saya. Bagaimanapun dia sudah meminta maaf dan saya harap semuanya selesai,” katanya.

Pendakwah itu dalam rakaman tersebut berkata: “Jika kamu pergi ke kilang Alagappa’s dekat Permatang Pauh, kamu tengok dekat pintu gerbang ada kepala tokong terjelir lidah panjang. Tuan-tuan tahu kenapa dia jelir lidah? Pasal mana yang rempah baru tokong kena rasa dulu sebelum jual.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.