Penceramah Pencetus Ummah, Shahul Hameed Disiasat

Kuala Lumpur – Ketua Putera MIC negeri, NG Senthelnathan menggesa supaya polis membuat siasatan terhadap naib juara program realiti Pencetus Ummah, Shahul Hameed Seeni Mohd yang didakwa membuat provokasi berunsur rasis dan berbaur perkauman dalam ceramahnya.

Sebelum ini seramai 30 wakil daripada MIC, PPP dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan Hindu membuat kenyataan dan laporan di Balai Polis Jalan Patani, Pulau Pinang.

“Saya berharap Shahul berhenti mengadakan sebarang ceramah sehingga siasatan selesai dijalankan oleh pihak polis.

“Ustaz boleh memberi ceramah berkenaan agama Islam tetapi janganlah sehingga menyentuh sensitiviti berkenaan agama lain,” katanya.

Ketua Pemuda MIC negeri, A Murugan menolak permohonan maaf daripada Shahul berkenaan insiden tersebut.

“Saya mahu kes ini diambil tindakan yang tegas jika didapati bersalah,” jelasnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asst. Comm. Mior Faridalathrash Wahid, berkata siasatan akan dijalankan dan berharap orang ramai dan penceramah bebas yang lain tidak menyentuh sebarang isu yang boleh menimbulkan sensitiviti dalam menyampaikan ceramah agama masing-masing.

“Kes akan dirujuk kepada Bukit Aman untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Shahul Hameed adalah Naib Juara program realiti, Pencetus Ummah dimana satu ceramahnya yang dimuat naik di laman Youtube menyentuh mengenai penggunaan serbuk kari jenama Alagapas di kalangan umat Islam di negara ini.

Video berdurasi 1.02 minit itu bertajuk Serbuk Kari Babas dan Alagapas (sempoi) dimana Shahul Hameed mempersoalkan tindakan umat Islam tidak menggunakan serbuk rempah keluaran syarikat Islam.

Terdahulu beliau membuat permohonan maaf secara terbuka selepas video ceramahnya yang didapati menyinggung perasaan kaum India tersebar luas.

“Saya mohon maaf kepada semua khususnya kepada kaum India,” katanya.

Menurut penceramah bebas itu, dia mengadakan ceramah terbabit secara tertutup namun mendakwa ada individu tertentu yang merakam dan memuat naik video berkenaan tanpa pengetahuannya yang didapati mempunyai niat buruk.

Shahul dalam permohonan maaf yang dimuat naik melalui video bedurasi 1 minit 41 saat dalam akaun Facebook miliknya juga mendakwa apa saja yang dikatakannya dalam ceramah terbabit adalah berdasarkan amanah ilmu yang difahaminya.

“Mungkin ada beberapa perkataan yang menimbulkan rasa tidak puas hati dan menyinggung perasaan terutamanya kaum India dan jika ia menyinggung perasaan mereka saya memohon maaf.

“Saya harap isu ini tidak dipanjangkan lagi dan saya akan pastikan perkara sepertinya ini tidak akan berulang lagi,” katanya dalam rakaman video permohonan maaf terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.