Najib Tekad Mahu Semua Mayat Nahas MH17 Dibawa Pulang Segera

The Hague – Malaysia dijangka dapat membawa pulang mayat rakyatnya yang terlibat dalam nahas MH17 di Ukraine secepat mungkin, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam lawatan kerjanya ke Belanda hari ini.

Najib berkata, perkara itu menjadi keutamaan hasil perbincangan dengan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte, selain isu ketenteraan di tapak nahas, kesukaran pasukan antarabangsa menjalankan siasatan, dan baki mayat yang mungkin masih berada di tapak kejadian.

“Demi keluarga yang bersedih, amat penting semua mayat yang masih berada di tapak nahas dapat dihantar balik secepat mungkin.

“Setiap mangsa perlu diberikan penghormatan dan pengebumian yang sempurna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana menteri berkata, keutamaan lain adalah mahu memastikan pasukan penyiasat antarabangsa diberi akses sepenuhnya ke tapak nahas di timur Ukraine bagi membolehkan mereka menjalankan kerja serta mengumpul bukti.

Beliau juga menggesa gencatan senjata antara Ukraine dan puak pemberontak pro Rusia di kawasan tapak nahas segera dilakukan bagi memberi peluang siasatan dijalankan.

Katanya, konflik di Timur Ukraine mungkin sukar diatasi tetapi mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat tidak terlibat dalam sebahagian pertikaian mereka.

“Kita minta semua pihak menghormati mangsa, integriti kawasan bagi membolehkan siasatan terus dilakukan.

“Perjalanan jauh mencari keadilan bermula dengan langkah ini,” katanya.

Beliau turut mengumumkan ketibaan 68 polis Malaysia ke Kiev hari ini dan akan bekerjasama dengan pasukan Belanda dan Austarlia untuk mengawal tapak nahas.

Beliau berkata, Malaysia menyokong penuh penyiasat antarabangsa dan menghargai Belanda yang mengetuai pasukan siasatan antarabangsa.

“Menghantar pulang mangsa secepat mungkin menjadi keutamaan bersama kami.

“Pakar Malaysia berada kini di Belanda menjalankan kerja mengenal pasti mayat dengan penuh teliti dan kita bersedia memberikan lebih banyak bantuan jika diperlukan,” katanya.

Katanya, Malaysia juga bersedih tentang kehilangan 298 nyawa yang berada dalam pesawat MH17 dan simpati terhadap Belanda yang kehilangan rakyatnya paling ramai dalam tragedi itu apabila melihat mayat pertama sampai di Eindhoven.

“Malaysia berdiri teguh bersama Belanda, Australia, dan juga semua negara yang kehilangan rakyatnya.

“Kita sama-sama bersatu dalam kesedihan dan bersedia mennghulurkan sebarang bantuan,” katanya.

Najib kini berada di Belanda dalam lawatan kerja selama dua hari bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam usaha mempercepatkan urusan penghantaran pulang mayat.

Beliau selepas ini dijadualkan ke The Hague dan kemudian Hilversum, iaitu tempat proses pengecaman dan forensik dilakukan terhadap mayat mangsa tragedi MH17.

Kemudiannya, beliau dijadual menjadi hos satu majlis jamuan untuk meraikan rakyat Malaysia yang tinggal di Belanda.

Turut serta dalam delegasi itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.