Malaysia Tidak Pernah Latih Pejuang Hamas

Kuala Lumpur – Malaysia menafikan memberi latihan serta kemudahan ketenteraan kepada mana-mana pejuang Hamas atau gerakan yang berjuang di negara bergolak, lapor Astro Awani.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan juga tidak pernah membenarkan sebaran unsur pusat latihan seumpama itu diwujudkan di negara ini.

“Mustahil ada latihan seumpama itu di negara ini, komen pejuang berkenaan itu tidak benar malah tidak wujud sama sekali di negara ini.

“Tidak kira apa jenis perjuangan termasuk dikategori perjuangan baik untuk melawan Israel, kita tidak pernah membenarkan atau memberikan kelulusan untuk latihan sebegini,” katanya.

Wan Junaidi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan media Israel mengenai pendedahan seorang pejuang Hamas yang ditangkap oleh Israel yang mendakwa menerima latihan ketenteraan di Malaysia.

Pejuang Hamas terbabit turut mendakwa sebagaimana yang dilaporkan Jerusalem Post bahawa latihan ketenteraan itu merangkumi latihan payung terjun sebagai persiapan untuk melancarkan serangan melalui udara ke atas Israel.

“Sudah saya tegaskan, kita tidak adakan latihan perang untuk pejuang seumpama ini. Mereka yang mahu dan berminat boleh berlatih di negara lain,” ujarnya.

Pejuang itu dikatakan menyertai Hamas pada tahun 2007 dan menjadi ahli sayap ketenteraannya yang bernama Briged Izzudin al-Qassam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.