Khalid Jumpa Nik Aziz Minta Restu?

Petaling Jaya – Walaupun sedang berhadapan dengan tekanan supaya melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih berkesempatan meraikan Aidilfitri dengan mengunjungi Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kunjungan sesama pemimpin politik walaupun daripada parti berlainan merupakan amalan biasa, namun peluang yang digunakan Abdul Khalid sempena sambutan hari raya kali ini memberi tafsiran berbeza.

“Berkunjung sempena Aidilfitri ke rumah Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Walaupun kelihatan uzur, beliau masih gagah berbicara. Terima kasih atas kesudian menerima kunjungan,” demikian tulis Abdul Khalid menerusi posting terbaharunya di Facebook awal pagi Rabu.

Difahamkan Abdul Khalid mengunjungi Mursyidul PAS itu di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Baru sekitar pukul 3 petang Selasa.

Abdul Khalid hadir menziarahi Nik Abdul Aziz ditemani isterinya, Puan Sri Salbiah Tunut.

Sehubungan itu, timbul cakap-cakap bahawa kunjungan Abdul Khalid itu bertujuan untuk mendapatkan ‘restu’ daripada veteran PAS itu berhubung masa depannya dalam politik di Selangor.

Namun difahamkan bahawa kunjungan Abdul Khalid itu lebih bersifat untuk menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Nik Abdul Aziz.

Baru-baru ini Nik Abdul Aziz menyatakan sokongan terbuka kepada Abdul Khalid supaya dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor selaras dengan pendirian yang dinyatakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu pada masa yang sama turut mempersoalkan alasan sebenar Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diwakili Abdul Khalid untuk melakukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.