DAP Bantah Kenaikan Tol Di CIQ

Kuala Lumpur – Pakatan Rakyat (PR) Johor membantah dengan sekeras-kerasnya langkah Kerajaan Persekutuan yang mahu menaikkan kadar tol sehingga 400 peratus di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru.

Memetik dari laman portal Roketkini.com, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu mendakwa, kenaikan kadar baharu harga tol itu bakal memberi kesan negatif, menjejaskan kuasa beli rakyat Malaysia dan meningkatkan kos perniagaan selain kesan inflasi yang membantutkan ekonomi negara.

Tiga ADUN tersebut ialah, Andrew Chen Kah Eng (Stulang), Cheo Yee How (Pengkalan Rinting) dan Liow Cai Tung (Johor Jaya).

Ketiga-tiga ADUN itu turut melancarkan kempen melalui laman twitter mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membatalkan segera kenaikan kadar tol baharu itu.

“Kami menyeru agar Perdana Menteri boleh memberi arahan dengan cepat dan jelas agar membatalkan kenaikan cukai tol ini sebelum 1 Ogos 2014.

“Kami juga melancarkan Kempen Twitter kepada Perdana Menteri, di mana seruan dibuat agar rakyat menghantar mesej Twitter terus kepada beliau agar beliau mengambil tindakan untuk membatalkan cadangan kenaikan tol tersebut,” katanya.

Dalam pada itu menurut kenyataan ketiga-tiga ADUN berkenaan, bantahan melalui surat rasmi turut dihantar kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir Ismail Md Salleh .

“Kami menyeru agar perlaksanaan kadar tol baharu di CIQ Johor Bahru dibatalkan. Kita tidak mahu melihat kenaikan kutipan tol ini dilaksanakan dalam keadaan yang terburu-buru dan diselubungi bantahan rakyat.

“Masa sudah begitu suntuk. Kita hanya mempunyai dua hari lagi. Dengan ini, kami menyeru agar rakyat memberi maklum balas kepada Perdana Menteri melalui ‘Ombak Twitter’ yang dilancarkan agar kenaikan ini dapat dielakkan,” tegas mereka.

Kementerian Kerja Raya sebelum ini mengumumkan kadar baharu tol arah masuk ke Malaysia mulai 1 Ogos 2014 bagi kenderaan kelas 1 hingga 5 adalah RM9.70, RM14.70, RM19.70, RM4.80 dan RM7.80, manakala kadar tol arah ke Singapura pula pada kadar RM6.80, RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50.

Kenaikan itu melibatkan kenderaan Kelas 1 hingga 5 dari kedua-dua arah keluar dan masuk kompleks itu.

Kerajaan sebelum ini berkata akan memastikan kenaikan kadar tol di CIQ tidak akan membebankan penduduk tempatan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof telah diminta mengenal pasti dan menangani sebarang isu yang timbul berikutan kenaikan kadar tol di CIQ mulai 1 Ogos ini.

“Kita tidak mahu meletakan bebanan tambahan kepada pengguna jalan tempatan,” katanya kepada pemberita pada majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Media di kediamannya di sini, Selasa.

Muhyiddin berkata, tol tersebut hanya dikenakan bagi kenderaan masuk dan keluar melalui CIQ sahaja.

Bagaimanapun, pengguna Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) sepanjang lapan kilometer tidak perlu membayar tol dan lebuh raya ini akan kekal percuma bagi penduduk Johor Baharu.

Sabtu lepas, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Ismail Md Salleh, mengumumkan kenaikan itu melibatkan kenderaan Kelas 1 hingga Kelas 5 dari kedua-dua arah keluar dan masuk kompleks CIQ itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.