70 Keranda Mayat Nahas MH17 Telah Dibuka

Sejumlah 70 keranda mayat mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas telah diperiksa untuk proses forensik dan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) di fasiliti ketenteraan di Hilversum, di Amsterdan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata daripada 227 keranda, yang diterbangkan dari Kharkiv, Ukraine, sehingga semalam 70 keranda telah dibuka.

“Berdasarkan kepada pasukan DVI kami di fasiliti itu, dijangka proses itu boleh diselesaikan dalam tempoh dua atau tiga minggu,” katanya kepada pemberita Malaysia di Amsterdam..

Penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang – 283 penumpang dan 15 anak kapal dipercayai ditembak jatuh tetapi setakat ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.

Dr Subramaniam berkata kementerian itu telah mengumpulkan semua cap jari, DNA dan rekod pergigian untuk 43 warganegara Malaysia yang menaiki MH17.

Beliau berkata rekod pergigian itu siap minggu lepas manakala cap jari dikumpulkan daripada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran.

“Semua data rekod telah dimuat naik ke sistem penyiasatan Interpol di Belanda untuk pramortem,” katanya.

Dr Subramaniam menjelaskan kementerian itu juga telah mengumpulkan DNA saudara-mara di Malaysia untuk keluarga yang terdiri daripada ibu dan bapa serta anak mereka, yang terkorban dalam tragedi itu.

Ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Malaysia, tinggal di Belanda dan Australia.

Beliau berkata semasa lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amsterdam esok, kementerian itu akan menawarkan bantuan kepada Belanda untuk mempercepatkan proses DVI.

Sementara itu, utusan pengkebumian mangsa nahas penerbangan MH17 Malaysia Airlines yang tidak mempunyai waris terdekat akan diuruskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim hari ini berkata mayat mangsa nahas itu akan diuruskan mengikut adat dan agama masing-masing.

Mayat mangsa MH17 juga akan diberi penghormatan tertinggi apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di Sepang, katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitrinya di Kuching.

Bagaimanapun, beliau berkata urusan membawa pulang 43 mayat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa nahas penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine mungkin mengambil masa.

Katanya, mayat-mayat terbabit hanya akan dibawa pulang selepas segala urusan mengenal pasti identiti mayat dan forensik selesai dilakukan oleh pihak berkuasa di Amsterdam, Belanda.

Rohani berkata:”Oleh sebab itu saya memohon maaf kepada semua waris mangsa sebab saya sendiri tidak pasti bila semua mayat terbabit dapat dibawa balik ke Malaysia.”

Sehubungan itu, beliau meminta keluarga mangsa bersabar kerana cara bekerja mereka di Amsterdam sangat berbeza.

“Mereka bekerja dari 9 pagi hingga 5 petang disebabkan kesatuan sekerja di negara berkenaan sangat prihatin dengan cara bekerja,” kata Rohani.

Katanya, walaupun Malaysia menghantar pasukan forensiknya sendiri seramai 30 orang tetapi mereka terpaksa mematuhi cara bekerja di Belanda.

“Oleh sebab itu, ia berkemungkinan mengambil masa yang panjang daripada yang kita harapkan. Tapi yang penting kita akan dapat membawa mayat balik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.