Malaysia-Belanda Desak Gencatan Senjata Di Kawasan Nahas MH17

The Hague – Malaysia-Belanda sepakat untuk mendesak supaya gencatan sejata di dalam kawasan nahas MH17 dan sekitarnya dilakukan serta merta oleh tentera Ukraine dan puak pemisah.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya, Mark Rutte di The Hague yang merupakan Pusat Pentadbiran Kerajaan Belanda.

“Demi keluarga mangsa yang sedang bersedih, semua saki baki mayat mangsa nahas perlu dibawa pulang secepat mungkin.

“Setiap mangsa perlu dikebumikan dengan penuh bermaruah,” kata Najib.

Najib dan Rutte turut sepakat menyeru supaya pasukan penyiasat antarabangsa diberi akses penuh ke lokasi nahas demi mendapatkan keadilan setiap mangsa yang terlibat.

“Kami meminta supaya kedua-dua pihak, tentera Ukraine dan puak pemisah supaya segera menghentikan pertempuran di kawasan nahas.

“Konflik di timur Ukraine tidak mudah untuk diselesaikan. Tetapi, kesemua penumpang dalam pesawat (MH17) tiada kena mengena dengan konflik itu,” katanya.

Dalam sidang media bersama itu, Najib turut memaklumkan 68 anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah tiba di Kiev dan bekerjasama dengan pasukan polis Belanda dan Australia untuk mengawal kawasan nahas.

Dalam pertemuan yang amat bermakna itu, kedua-dua pemimpin juga bersetuju meletakkan tiga perkara sebagai keutamaan terpenting berhubung insiden nahas pesawat MH17.

Tiga perkara tersebut adalah penghantaran pulang mayat dan barangan mangsa secepat mungkin; mencari punca insiden itu berlaku; serta memastikan pelaku kekejaman tersebut diheret ke muka pengadilan.

Pertemuan yang menyusul selepas tragedi di luar batas kemanusiaan yang mengorbankan majoriti penumpang dari Belanda itu juga menyaksikan kedua-dua pemimpin amat serius membincangkan mengenai aktiviti ketenteraan yang masih berlangsung di lokasi nahas.

“Konflik di Timur Ukraine mungkin sukar untuk diselesaikan namun penumpang dalam pesawat MH17 tidak mempunyai kaitan dengan konflik tersebut.

“Dengan itu, kami meminta gencatan senjata dilakukan serta merta di dalam kawasan nahas serta sekitarnya oleh kedua-dua tentera Ukraine dan puak pemisah.

“Kami menggesa agar semua pihak menghormati nyawa yang telah terkorban supaya siasatan boleh dimulakan,” kata Najib pada sidang media selepas berlangsungnya pertemuan kira-kira setengah jam itu,

Dalam pada itu, Najib berkata, Malaysia bersama Belanda dan Australia akan meneruskan kerjasama erat bagi memastikan agenda-agenda yang telah dipersetujui dapat dicapai.

Katanya, beliau dan Rutte bersetuju bahawa penghantaran segera mayat mangsa adalah keutamaan teratas kerajaan kedua-dua negara.

Katanya, setiap mangsa berhak untuk diberikan penghormatan dan disemadikan dengan sempurna.

Dalam sidang media bersama selepas pertemuan tersebut, Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih di atas pertolongan yang telah dihulurkan oleh kerajaan Belanda.

Najib turut mengambil peluang untuk menandatangani dan menulis nota takziah di atas kematian 153 rakyat Belanda di dalam nahas udara 17 Julai lalu.

Najib tiba di Netherlands pada Khamis untuk melakukan lawatan kerja dua hari berkaitan nahas yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Ukraine.

Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol pada 8 pagi (2 petang di Malaysia) dengan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Delegasi itu turut dianggotai Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya.

Perdana Menteri dijadualkan akan ke Hilversum, tempat proses pengecaman dan forensik dilakukan terhadap mayat mangsa nahas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.