PM arah pergiatkan usaha banteras kecurian diesel di seluruh negara

- Advertisement -

LABUAN – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua agensi penguatkuasa yang berkaitan untuk mempergiat operasi terhadap penyalahgunaan dan kecurian diesel di seluruh Malaysia.

Beliau turut menzahirkan komitmennya untuk mengambil tindakan yang keras terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan mencuri diesel.

“… yakinlah bahawa kita akan melakukan segala yang terdaya untuk menjejaki mereka yang terlibat dan jika ditangkap bersama bukti, kita akan mengheret mereka ke muka pengadilan.

“Kita tidak mahu melihat negara ditipu… kita mahu agensi penguatkuasa termasuk di Labuan agar mempertingkat operasi dan pemeriksaan bagi membanteras kegiatan mencuri diesel,” katanya pada Sesi Libat Urus Komuniti di Jabatan Laut Labuan di sini hari ini.

Anwar turut menegaskan bahawa tindakan membendung kecurian diesel adalah penting bagi melindungi kepentingan rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan, yang banyak bergantung kepada diesel.

Beliau juga menggesa orang ramai agar melaporkan sebarang kejadian berkaitan kecurian diesel dan penyalahgunaan kepada pihak berkuasa bagi membantu tindakan keras yang diambil bagi menangani isu itu.

Selain itu, Perdana Menteri mengulangi pendirian beliau berhubung program rasionalisasi diesel serta memaklumkan bahawa Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada skim baharu tersebut yang diumumkan pada 21 Mei lepas.

Anwar berkata hampir semua keluarga di kedua-dua negeri bergantung kepada diesel dan pelaksanaan perubahan subsidi akan membebankan mereka.

Bagi mengurangkan potensi kesan inflasi ke atas harga barangan dan perkhidmatan di Semenanjung Malaysia, Perdana Menteri berkata kerajaan akan memberikan subsidi diesel tunai secara terus kepada pemilik individu kenderaan komersial.

Beliau berkata program rasionalisasi itu akan menyasarkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pembawa barangan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat