KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menyasarkan untuk menyelesaikan dan menoktahkan miskin tegar di Sabah, menjelang penghujung Julai ini.
Anwar berkata ketika ini dianggarkan ada 9,000 keluarga miskin tegar yang berjaya diturunkan daripada 20,000, hasil daripada usaha berterusan kerajaan negeri dan agensi Persekutuan menyelesaikan masalah itu.
“Semalam dalam mesyuarat saya ucap terima kasih dapat kerjasama penuh kerajaan negeri, kita mahu noktahkan kemiskinan tegar di Sabah sebelum akhir Julai 2024.
“Ini keutamaan kita, boleh bincang banyak hal tapi kalau anak-anak dan keluarga kita yang tak cukup makan…itu tanggungjawab kita selesaikan,” katanya berucap pada majlis penutupan sambutan Pesta Kaamatan di Penampang, Sabah, lapor FMT pada Jumaat.
Beliau yang juga menteri kewangan turut menafikan kononnya penangguhan penyasaran subsidi diesel untuk Sabah dan Sarawak mempunyai kaitan dengan politik atau pilih kasih.
Sebaliknya langkah itu katanya diambil berikutan penggunaan diesel di dua negeri itu lebih meluas berbanding Semenanjung.
“Bila kita perkenalkan pengurangan subsidi di Semenanjung tapi kita kecualikan keputusan itu untuk Sabah dan Sarawak, dasar kita tak pilih kasih, ada kata mengapa pilih kasih Sabah Sarawak takut politik, tidak.
“Sebab itu kita katakan penyasaran subsidi supaya maha kaya dan orang asing tidak diberikan subsidi tapi kita kecualikan Sabah dan Sarawak bukan kerana Ketua Menteri Hajiji Noor tuntut, tidak…faktanya kegunaan diesel di Sabah dan Sarawak itu lebih luas berbanding di Semenanjung,” katanya.
Dalam perutusan pada 21 Mei lepas, Anwar berkata Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel, sekali gus memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.
Penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.
Di samping itu, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi diesel kepada perniagaan tertentu yang menggunakan kenderaan komersial diesel untuk mengurangkan potensi kesan kenaikan harga secara mendadak terhadap barangan dan perkhidmatan.