KUALA LUMPUR – PKR akan kembali kuat apabila keseluruhan anggota dari akar umbi ke Presiden bergerak dengan satu strategi dan masing-masing melaksanakan tugasan dengan berkesan,” kata Rafizi Ramli.
Timbalan Presiden PKR itu juga memaklumkan akan menguruskan perjumpaan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan segera untuk memulakan urusan persediaan parti menghadapi PRU-15.
Menurut Rafizi, beliau menjangkakan PRU-15 akan dipanggil dalam beberapa bulan lagi.
Dalam pada itu Rafizi juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota PKR yang telah mempamerkan kematangan dalam melalui pemilihan kali ini.
“Saya menyeru supaya keseluruhan pimpinan PKR di semua peringkat menerima dengan berlapang dada isyarat akar umbi yang telah dizahirkan di peti undi.
“Saya juga berterima kasih kepada saingan saya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang telah menghubungi saya lebih awal sebelum pun keputusan tidak rasmi keluar.
“Kami telah bersama-sama membina parti ini sejak 1998, bodohlah mereka yang beranggapan perbezaan pendapat kami sebelum ini boleh memutuskan keikhlasan dan kesetiaan kami kepada PKR,” catat Rafizi di Facebooknya pada Selasa.
Kata beliau, rakyat tahu bahawa UMNO dan Barisan Nasional bergelumang dengan rekod rasuah yang telah menyebabkan kepincangan yang membebankan rakyat sekarang.
“Rakyat juga tahu bahawa Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) hanyalah pakatan politik yang mengejar kuasa tanpa pembezaan ketara dari UMNO-BN.
“Namun, adalah tidak adil sekiranya rakyat dipaksa untuk memilih PKR/Pakatan Harapan (PH) hanya kerana pilihan-pilihan lain itu lebih teruk.
“Sebagai seorang rakyat biasa yang tidak berjawatan dan menjalani kehidupan awam sejak 2018, saya faham perasaan pengundi biasa. Mereka lebih arif mengenai kegagalan sistem dan masalah struktur yang ada di negara ini kerana mereka berdepan dengan kegagalan yang dibebankan kepada mereka setiap hari,” kata beliau.
Sebagai rakyat biasa juga, Rafizi percaya rakyat mahukan idea penyelesaian yang ditampilkan oleh barisan pentadbir dari kalangan ahli politik yang ada wawasan.
“Tidak cukup untuk pimpinan PKR dan PH faham masalah secara mendalam dan berjaya mengutarakan penyelesaian, rakyat juga mahu melihat barisan bakal menteri yang diyakini mampu melaksanakan penyelesaian-penyelesaian itu.
“Realiti kehendak pengundi kini sudah berubah. Ia bukan lagi soal KEADILAN/Pakatan Harapan dilihat lebih bersih (secara relatif) berbanding BN dan PN, kita juga perlu lebih cerdik dan cekap sebagai pentadbir dan bakal menteri.
“Saya dan rakan-rakan mengambil risiko masuk pemilihan PKR dengan bertarung berasaskan idea sebegini. Saya diberitahu anggota PKR tidak akan dapat memahami mesej ini atau mereka lebih pentingkan soal peribadi dari gagasan idea,” tegasnya.
Sejak dari awal, Rafizi nyatakan bahawa sebagai parti yang ingin terus mempengaruhi perubahan politik negara, PKR mesti yakin dengan kebijaksanaan rakyat. Jika kita gagal meyakinkan rakyat kali ini, maknanya usaha kita masih tempang dan belum cukup baik, bukannya rakyat yang tidak cerdik.
“Kita perlu kekal di landasan idea yang menghormati kebijaksanaan rakyat sehinggalah mereka yakin dengan idea dan keupayaan kita.
“Itu hanya akan berlaku jika kita menjadi sebuah parti yang lebih pintar, lebih agresif, lebih lincah, lebih cekap dan dibarisi pimpinan yang lebih muda dan bermutu.
“Saya terterima kasih kerana hampir keseluruhan anggota akar umbi PKR bersetuju dengan pendirian saya itu. Dalam sejarah pemilihan PKR sejak penubuhannya, tidak pernah calon seorang Timbalan Presiden mendapat mandat yang sebegini besar – selain dari undi popular hampir 60 peratus lebih 80 peratus dari semua cabang di seluruh negara telah meletakkan amanah sebagai Timbalan Presiden kepada saya.
“Saya tahu ia bukanlah sebab anggota akar umbi PKR lebih sukakan saya berbanding Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Saya tahu saya hanya seorang anggota biasa yang tidak berjawatan dan saya banyak kelemahan sendiri,” katanya.