Dr Ganja, Isteri Dan Pembantu Dicekup

KUALA LUMPUR – Seorang pesara tentera yang menggelarkan dirinya ‘Dr. ganja’ dan popular di laman sosial kerana menawarkan perubatan alternatif menggunakan ganja ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Delek, Klang, Jumaat lalu.

Lelaki berusia 58 tahun itu turut ditahan bersama isterinya yang merupakan warga Indonesia ber­usia 35 tahun serta seorang lelaki berusia 38 tahun yang berperanan sebagai pembantunya dalam serbuan dijalankan pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman, lapor Utusan.

Pesara tentera tersebut yang kali terakhir memegang jawatan kapten dipercayai menawarkan perkhidmatan perubatan alternatif menggunakan tumbuhan tersebut sejak lima hingga enam bulan lalu melalui laman Facebook dan mendakwa mampu mengubati pelbagai penyakit termasuk kanser.

Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Kang Chez Chiang berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, polis turut merampas 18 pokok ganja, empat kilogram tumbuhan dan serbuk disyaki ganja, empat liter minyak, coklat, madu, marjerin, susu, kek dan pes masakan yang disyaki mengandungi ganja.

“Kita turut merampas peralatan memproses dadah tersebut serta sebuah kereta yang menjadikan ke­seluruhan nilai rampasan berjumlah RM21,000,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Chez Chiang, ini me­rupakan serbuan pertama pada tahun ini yang membongkar ke­giatan sindiket mempromosi dan mengedar dadah melalui platform laman sosial.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dan akan terus menentang sekeras-kerasnya apa jua cubaan menghalalkan penggunaan dadah ganja oleh mana-mana individu atau kumpulan di negara ini.

“Kesemua suspek ditahan reman sehingga Jumaat untuk disiasat mengikut Seksyen 39B/6B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.