Gagal Patuh Kualiti Perkhidmatan, SKMM Kompaun Syarikat Telco

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan kompaun berjumlah RM660,000 kepada syarikat-syarikat pemberi perkhidmatan telekomunikasi kerana gagal mematuhi kualti perkhidmatan dan pendaftaran kad sim prabayar.

 

SKMM dalam kenyataan semalam berkata, 12 kompaun berjumlah RM600,000 dikeluarkan untuk kesalahan ketidakpatuhan kepada ‘Guidelines On Registration of End-Users of Prepaid Public Cellular Services’ iaitu kegagalan membuat pengesahan maklumat pengguna akhir semasa pendaftaran kad sim prabayar.

 

Dua kompaun dikeluarkan kepada Maxis Mobile Services Sdn. Bhd. berjumlah RM100,000, lima kompaun masing-masing DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (RM250,000) dan Celcom Mobile Sdn. Bhd. (RM250,000). Setiap kompaun bernilai RM50,000.

 

SKMM berkata ia juga mengeluarkan lima kompaun berjumlah RM60,000 terhadap tiga syarikat pemberi perkhidmatan telekomunikasi, dua syarikat Pengendali Rangkaian Maya Mudah Alih (Mobile Virtual Network Operator) dan sebuah badan penyiar kerana kesalahan ketidakpatuhan terhadap Standard Mandatori mengenai kualiti perkhidmatan.

 

Bagi kesalahan itu, satu kompaun dikeluarkan kepada Celcom Axiata Bhd. berjumlah RM20,000, manakala satu kompaun masing-masing berjumlah RM10,000 kepada Red One Network Sdn. Bhd., DiGi Telecommunications Sdn. Bhd., Merchantrade Asia Sdn. Bhd. dan Husa Network Sdn. Bhd..

 

“Kawal selia SKMM terus bertumpu kepada kualiti perkhidmatan dan pendaftaran kad sim prabayar.

 

“Justeru itu, SKMM memandang serius kesalahan yang melibatkan pendaftaran kad sim prabayar dan akan mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan terhadap pemberi perkhidmatan atau pengedar yang gagal mematuhi kehendak Standard Mandatori dan Garis Panduan SKMM bagi memastikan hak dan kepentingan pengguna dipelihara,” kata kenyataan itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.