Ular Tedung Terbesar Pernah Ditangkap

Bukit Chandan – Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Kangsar berjaya menangkap seekor ular tedung selar sepanjang lebih tiga meter di Kampung Sto, Padang Rengas, baru-baru ini.

Haiwan seberat hampir 20 kilogram itu ditangkap dalam sebuah perigi di kampung berkenaan selepas anggota menerima panggilan daripada penduduk kampung yang melihat kehadiran ular tersebut.

Anggota bertugas yang membantu menangkap ular itu, Prebet Haidir Tarmizi berkata, mereka bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada penduduk kampung kira-kira jam 1.30 tengahari.

“Hampir 10 minit kemudian, baru kami dapat menaikkan ular itu ke darat. Tugas untuk menagkap agak sukar kerana ular tersebut bersikap agresif, mungkin kerana ia lapar,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Mohd Haspi Hamzah berkata, anggotanya menerima 20 hingga 30 kes ular dalam sebulan, purata satu kes untuk sehari.

Menurutnya, ular tedung selar yang ditangkap baru-baru ini merupakan yang terbesar pernah mereka tangkap kerana ia sepanjang lebih tiga meter dan beratnya hampir mencecah 20 kilogram.

Katanya lagi, pembangunan yang semakin pesat di Kuala Kangsar mungkin menjadi punca kepada berlakunya kes haiwan berbisa seperti ular menceroboh kawasan kediaman manusia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.