Hapus Poster Ceti Haram

Manjung – Bagi membersihkan poster ceti haram di sekitar daerah ini, pasukan polis dan penguatkuasa Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bergabung menjalankan operasi pembersihan iklan tersebut.

Seramai 10 anggota polis dan lapan penguatkuasa MPM terlibat dalam operasi pembersihan poster dan iklan ceti haram di sekitar Sitiawan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, sehingga kini sebanyak sembilan kali operasi pembersihan dilakukan di kawasan Sitiawan.

Menurutnya, poster berkenaan ditampal di pelbagai tempat termasuk tiang elektrik, papan tanda jalan, pagar rumah dan sebagainya.

“Tindakan menampal poster atau iklan ini adalah menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (akta 400). Perkara ini juga turut menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinham Wang 1951 (akta 400),” katanya ketika ditemui pada operasi berkenaan.

Ahmad berkata, pihaknya turut menerima laporan daripada peminjam yang tidak berpuas hati dengan tindakan along mengenakan kadar bayaran bunga yang terlalu tinggi.

Jelasnya, tahun lalu sahaja, polis menerima empat laporan manakala pada tahun ini sebanyak tiga kes berkaitan ketidakpuasan hati peminjam yang mendakwa mereka telah membayar hutang dipinjam tetapi pihak pemberi pinjam mengatakan hutang masih berbaki.

“Peminjam berasa tidak puas hati selain khuatir dengan keselamatan mereka dan bertindak membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan iklan seumpama itu kerana boleh mendatangkan kemudaratan.

“Pihak yang menampal iklan perlu segera menghentikannya kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.