Hadi Beri Reaksi Positif

SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Keadaan kesihatan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang(Gambar) yang dikejarkan ke hospital Istanbul semalam dilaporkan semakin pulih selepas diberi rawatan oleh doktor pakar.

Memetik kenyataan ringkas Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar melalui aplikasi WhatsApps sebentar tadi, beliau memberitahu paru-paru Abdul Hadi memberi respon positif setelah diberikan ubat.

“Kira-kira jam 2.30 petang tadi (waktu Malaysia) paru-paru beliau memberi respon yang sangat positif terhadap ubat yang diberikan.

“Alhamdulillah, saya masih di hospital dan menunggu sebarang perkembangan daripada doktor,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan dikejarkan ke hospital di Istanbul.

Timbalan Ketua, Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan ringkas berkata, beliau telah menghubungi Setiausaha Politik Abdul Hadi.

“Dr (Ahmad) Samsuri (Mokhtar) kini berada bersama ayahanda Tuan Guru Presiden (Abdul Hadi) di Istanbul, Turki.

“Beliau dimasukkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas dan sekarang keadaan beliau stabil dan sedang berehat.

“Mohon doa dari semua umat Islam agar beliau pulih dan dapat terus memimpin ummah,” katanya.

Abdul Hadi dilaporkan berangkat ke Istanbul, pada Selasa lepas dan dijadualkan pulang ke tanah air pada 3 atau 4 Jun depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.