Emma Maembong Bidas Dakwaan, Punca Zizan Razak Kalah ABPBH

Walaupun sudah enam hari Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2013 berlalu, namun acara berprestij itu masih menjadi bualan hangat ramai. Termasuklah nasib pelawak dan pelakon Zizan Razak yang pulang tangan tangan kosong.

Ya, kekalahan Zizan sangatlah mengejutkan ramai peminat kerana dari awal lagi dia antara salah seorang artis yang diramal akan menang besar pada malam tersebut. Bukan rezeki Zizan tahun ini – itu yang kami dapat ungkapkan. Tak mengapa, tahun depan ABPBH ‘kan ada lagi.

Namun timbul cakap-cakap belakang mendakwa antara punca kekalahan Zizan itu ialah kerana kekasihnya, Emma Maembong. Ini disebabkan tidak semua peminat menyambut baik keterbukaan pasangan ini mengaku yang mereka bercinta. Malahan ada yang mengatakan Emma lah penyebab populariti Zizan semakin merundum. Kasihan Emma…

“Saya tak boleh nak komen banyak tetang hal itu. Setiap orang ada rezeki masing-masing. Ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah. Jangan lah tunding jari kepada orang lain. Mungkin anugerah itu bukan rezeki dia kali ini,” kata Emma Maembong tenang.

Pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail Maembong ini ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta Per’l bertempat di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, semalam.

Menganggap dakwaan tersebut sebagai lumrah, kata Emma dia lebih senang bersikap positif. Meskipun begitu, gadis kacukan Melayu-Scotland ini sedar ada sebilangan peinat Zizan yang kurang senang akan hubungan cintanya dengan jejaka kelahiran Terengganu itu.

Susah Berlakon Dengan Zizan Razak

“Saya tak buat apa-apa pun orang tetap mengata saya. Jadi biarlah orang nak kata apa pun, saya positif. Saya tahu ada juga yang tidak suka hubungan kami. Soal jodoh ni semua ditangan Tuhan. Saya harap peminat-peminat boleh doakan yang terbaik buat kami,” katanya.

Menyentuh mengenai kerjaya pelakon ini pula, Emma Membong baru selesai menjalani penggambaran telemovie berjudul Hantu Selfie arahan Michael Ng. Dalam drama tersebut Emma bergandingan sekali lagi dengan kekasihnya, Zizan Razak.

“Susah juga berlakon dengan dia (Zizan). Bukan sebab dia kekasih saya tapi sebab dia kan raja lawak, jadi bila camera on, ada saja lawak spontan yang akan dibuat menyebabkan kadang-kadang saya susah nak balas semula. Saya cuba juga melawak tapi tak jadi. Di situ saya kalah. Tapi kalau bab sedih, perlu menangis, saya tiada masalah. Dia pula yang kalah kat situ,” katanya yang merupakan kali kedua berlakon bersama Zizan.

Sebelum itu mereka berdua digandingkan dalam filem arahan Mamat Khalid berjudul Ucop Wilcha melawan Warewolf yang dijangka ditayangkan penghujung tahun ini. Sementara Hantu Selfie akan ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.