Analisis: PRK Teluk Intan Peluang Kedua-Dua Calon Seimbang

KEMPEN calon-calon bertanding pada PRK Parlimen Teluk Intan telah pun berakhir semalam.

Jika di awal kempen, calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dilihat lebih menonjol kerana muka baru dan muda selain rupa parasnya yang menjadi bualan penduduk di Teluk Intan.

Sementara calon BN, Datuk Mah Siew Keong dilihat kurang menyerlah memandangkan beliau calon lama dan pernah menjadi Ahli Parlimen kawasan ini selama dua penggal.

Isu yang dimainkan pada minggu pertama kempen lebih tertumpu pada calon muda vs calon tua dengan memberi perbandingan umur kedua-dua calon.

Namun, selepas memasuki fasa terakhir kempen, Siew Keong dilihat lebih ke hadapan sementara Dyana Sofya terus diserang dengan pelbagai isu.

Bermula dengan dakwaan bukan peguam profesional, Setiausaha Politik Lim Kit Siang itu terus diberikan tekanan apabila timbul isu penglibatan ibunya dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perkasa.

Tidak cukup dengan itu, insiden merampas mikrofon oleh mentornya Lim Kit Siang dalam satu sidang media menjadi modal BN untuk mengatakan Dyana Sofya hanya sebagai boneka DAP.

Nyata pengalaman Siew Keong di dalam politik jelas memberikan kelebihan kepadanya untuk terus berkempen tanpa sebarang masalah.

Biarpun kehadiran beberapa menteri di Teluk Intan dalam tempoh kempen sedikit menenggelamkan Presiden Gerakan itu sebagai calon, beliau masih mampu memenuhi jadualnya untuk bertemu dengan pengundi.

Mengakui PRK kali ini adalah tekanan yang besar memandangkan beliau Presiden Gerakan, Siew Keong menganggap dirinya sebagai ‘underdog’ kerana kekalahan pada PRU13 dengan majoriti yang besar iaitu 7,313 undi berbanding DAP.

Isu di peringkat nasional tidak banyak mempengaruhi pengundi setempat memandangkan kebanyakan penduduk di Teluk Intan merupakan golongan pertengahan yang mahu isu tempatan diutamakan.

Jika itu menjadi ukuran, nyata kelebihan memihak kepada Siew Keong berdasarkan manifestonya yang dilihat lebih terarah untuk komuniti setempat.

Tiga perkara utama yang digariskan dalam manifesto calon BN itu mampu memikat masyarakat setempat dan dilihat realistik untuk ditunaikan.

Anak jati Teluk Intan itu sudah pun dijanjikan perdana menteri untuk menganggotai Kabinet, beruntunglah warga bandar yang mempunyai Menara Condong itu.

Berbanding dengan Dyana Sofya, manifestonya dilihat menjurus kepada isu nasional seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kenaikan harga barangan dan sebagainya walaupun ia dibuat berdasarkan tinjauan masyarakat di Teluk Intan.

Namun, pendekatan kempen lebih segar dengan penguasaan segmen di media-media sosial mampu memikat anak muda untuk memberikan sokongan kepada calon DAP itu.

Berselfie, membalas Tweet, dan menggunakan Facebook sebagai salah satu medium berinteraksi dengan pengundi, ia dijangka mampu mempengaruhi undi di kawasan bandar khususnya yang tinggal di luar Teluk Intan.

Harus diingat, penentu kemenangan bukan semata-mata penduduk setempat sebaliknya pengundi luar yang mampu merubah keputusan pada PRK kali ini.

Jika dilihat dari jumlah pengundi kawasan Dun Pasir Bedamar mempunyai jumlah pengundi tertinggi iaitu sejumlah 31,343 orang berbanding kawasan Dun Changkat Jong, 29,006 pengundi.

Daerah Mengundi Taman Seri Setia mempunyai bilangan pengundi paling ramai bagi Dun Pasir Bedamar iaitu 4,072 orang manakala bagi Dun Changkat Jong, Daerah Mengundi Kampung Bahagia paling ramai pengundi sebanyak 3,910.

Bagi pengundi paling sedikit, Daerah Mengundi Sungai Temah dalam kawasan Dun Pasir Bedamar hanya mempunyai 64 pengundi.

Jika mengharapkan undi penduduk yang tinggal di Teluk Intan, Siew Keong dijangka mampu menang dengan majoriti yang kecil.

Namun, sebaliknya berlaku jika pengundi luar balik hari ini untuk mengundi dan kemenangan kekal milik DAP dengan majoriti yang sedikit menurun.

Selain itu, isu hudud juga dijangka akan mempengaruhi undi Melayu memandangkan kedua-dua parti bertanding secara terbuka menolak pelaksanaan hudud.

Kemungkinan besar, ada pengundi Melayu yang mengambil sikap berkecuali dengan tidak keluar mengundi kerana bimbang dikatakan bersubahat menolak hudud!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.