CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru rakyat Malaysia untuk terus mempertahankan hubungan baik antara kaum dan agama demi memastikan kestabilan serta keamanan negara.
Dalam Perutusan Khas Aidilfitri 2025 yang disiarkan secara langsung malam tadi, beliau menekankan kepentingan sikap hormat-menghormati, ihsan, dan kasih sayang dalam membentuk sebuah masyarakat yang harmoni.
“Bersempena Ramadan dan kedatangan Aidilfitri ini, marilah kita terus menekankan kepentingan mengangkat martabat insan, karamah insaniah sebagai makhluk yang luhur dan merdeka,” katanya.
Anwar turut berkongsi pengalamannya dalam Program Ihya’ Ramadan di beberapa negeri termasuk Kelantan, Sabah, dan Terengganu, yang menurutnya memberi peluang mendengar keluhan rakyat serta menilai keberkesanan inisiatif kerajaan.
“Keistimewaannya ialah menyaksikan sendiri di peringkat akar umbi, mendengar denyut nadi rakyat, keluhan serta usulan mereka,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi yang mampan harus diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat.
Selain itu, Anwar turut menzahirkan kesyukuran kerana dapat menunaikan ibadah sepanjang Ramadan serta berharap semangat keprihatinan terhadap golongan kurang bernasib baik terus disemarakkan, termasuk dalam menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin.
“Semoga kita terus lebih prihatin terhadap nasib jiran, kariah, dan masyarakat sekeliling yang tersisih serta terbiar, termasuklah bencana malapetaka dan kezaliman yang berlaku di Gaza, Palestin,” ujarnya.
Mengakhiri perutusannya, Anwar memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan berikrar untuk terus memimpin negara dengan amanah serta tanggungjawab demi kesejahteraan bersama.