Malaysia Hulur Bantuan ke Myanmar, Anwar Ibrahim Sampaikan Takziah

- Advertisement -

CYBERJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat Myanmar susulan bencana gempa bumi yang mengorbankan lebih 1,600 nyawa dan mencederakan ribuan mangsa.

Dalam satu panggilan telefon kepada Jeneral Kanan Min Aung Hlaing semalam, Anwar menegaskan bahawa Malaysia komited untuk berdiri bersama Myanmar dalam menghadapi krisis ini, selari dengan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

“Malaysia dan ASEAN akan terus mendukung usaha bantuan kemanusiaan yang sedang giat dijalankan, termasuk menerusi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang telah diatur gerak ke Myanmar pada awal hari ini bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terkesan,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Selain itu, Anwar memaklumkan bahawa Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, akan mengetuai satu misi kemanusiaan ke Myanmar dalam masa terdekat untuk menilai keadaan dan menyelaraskan bantuan tambahan.

Beliau turut memaklumkan kepada Min mengenai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dianjurkan oleh Malaysia semalam bagi menggerakkan sokongan serantau terhadap Myanmar dalam menghadapi bencana ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar juga menghubungi Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, untuk menyampaikan rasa dukacita dan solidariti berikutan gempa bumi yang turut melanda negara itu.

“Pada kesempatan yang sama, saya turut membangkitkan beberapa perkara terkait kedua-dua negara, termasuk tekad berterusan ASEAN dalam memudah cara dan membantu Myanmar mencari jalan penyelesaian damai terhadap krisis di negara itu. Insya-Allah, perbualan kami pada hari ini akan disusuli dengan perbincangan yang lebih lanjut semasa lawatan kerja saya ke Bangkok pada 17 April atas jemputan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra,” katanya.

Sebagai tanda solidariti, Malaysia telah memperuntukkan bantuan kemanusiaan awal sebanyak RM10 juta bagi membantu rakyat Myanmar yang terkesan akibat gempa bumi.

Dua pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah berlepas ke Naypyidaw, membawa 50 anggota SMART bersama peralatan penting bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat. Misi ini diketuai oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar, dan Kedutaan Malaysia di Yangon.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat