KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dua minggu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi mengemukakan cadangan gabungan parti dalam PRU-15.

Butir pertemuan dua tokoh politik itu disahkan oleh Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Kata Mukhriz, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu bertemu dengan Pengerusi Pejuang berkenaan dengan tujuan untuk bergabung menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurut Mukhriz, perjumpaan itu berlangsung sekitar dua minggu lalu selepas PRN Johor.

“Tan Sri Muhyiddin ada datang jumpa Tun (Mahathir) dua minggu lalu selepas PRN Johor. Dia mohon jumpa, Tun kata ‘ok’ untuk jumpa. Cadangan dikemukakan ialah untuk bergabung dengan semua (parti) walaupun dia (Muhyiddin) dalam kerajaan (Perikatan Nasional).

“Setakat ini ‘approach’ sudah ada tetapi setuju atau tidak belum ada lagi. Mungkin saya boleh katakan buat masa ini kita kurang setuju dengan apa yang dicadangkan,” katanya memetik Sinar Harian selepas program bersama Pejuang Terengganu, pada Khamis.

Menurut Mukhriz, selain Bersatu, Pejuang turut menerima pelawaan daripada pembangkang untuk menjalinkan kerjasama dalam PRU15, namun tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini.

Dalam pada itu, Mukhriz mengakui hubungan antara Tun Mahathir dan Muhyiddin kini agak dingin ekoran beberapa krisis yang berlaku sebelum ini.

“Setakat ini hubungan masih dingin. Kena fahamlah ‘luka’ kami belum pulih lagi dan masih ‘berdarah’, namun kami faham demi negara dan rakyat tak ada benda yang kami tak sanggup buat kalau niat itu betul.

“Namun, jika niat tak betul macam mana kami nak setuju, misalnya, tidak akan bergabung bagi tujuan melepaskan diri daripada mahkamah. Kami sejak awal lagi tidak mahu bersekongkol dengan mereka,” katanya.