PM Umum 11 Insentif Baru Bantu Perkasa Usahawan Bumiputera

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 11 insentif baharu sebagai satu usaha memperkasakan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera yang keseluruhannya bernilai RM2.9 bilion.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri dalam acara Himpunan Usahawan Bumiputera (HUB) 2018 di Axiata Arena, semalam.

“Kerajaan memahami usahawan memerlukan sokongan kerajaan dan insentif ini merupakan satu bentuk sokongan kerajaan kepada usahawan PKS Bumiputera,”katanya dalam ucapannya.

Antara yang diumumkan ialah lanjutan program Dana Mudahcara Bumiputera Fasa Kedua dengan peruntukan RM2 bilion, Insentif Penyenaraian Syarikat PKS di pasaran LEAP atau LIVE dan Dana Insentif Tunas Usahawan Belia Bumiputera.

Selain itu, turut diumumkan ialah Galakan Elaun Peningkatan Eksport SME, Inisiatif Wira eDagang DFTZ, Insentif SpeedMeUp, Dana Industri Peruncitan dan Pengedaran, pelanjutan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE), pemerkasaan TERAJU dan peruntukan RM50 juta di bawah Dana Insentif Pelaburan.

“Besar harapan saya untuk melihat industri kecil dan sederhana Bumiputera ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi, dan menjana sumbangan yang lebih besar kepada ekonomi negara, selain meningkatkan lagi pendapatan para pengusaha,” kata Datuk Seri Najib.

Perdana Menteri juga mengumumkan penubuhan Persatuan Bumiputera SME Malaysia atau BumiSME yang bakal menjadi platform untuk menyatukan industri PKS dari pelbagai latar dan industri.

Pengerusi SME Corp, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid, diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sementara persatuan berkenaan dengan dana awalan berjumlah RM10 juta akan disalurkan kepada BumiSME menerusi SME Corp.

Himpunan Usahawan Bumiputera (HUB) 2018 anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melalui agensinya, SME Corp, berjaya menghimpunkan lebih 14,000 usahawan Bumiputera dari seluruh negara. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.