Mahkamah: Pendapat Pembeli Rumah Perlu Didengar Sebelum Mohon EOT

Mahkamah Rayuan di Putrajaya memutuskan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu memberi peluang kepada pembeli rumah untuk didengar sebelum pihak kementerian memberikan kemudahan Lanjutan Masa (EOT) kepada pemaju untuk menyiapkan projek perumahan.

Dalam keputusan sebulat suara semalam, panel tiga hakim terdiri Datuk David Wong Dak Wah, Datuk Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Harmindar Singh berkata tujuan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) adalah untuk melindungi kepentingan pembeli.

“Oleh kerana pembeli berhak untuk menuntut ganti rugi sekiranya berlaku kelewatan berikutan terjejas teruk atau malah musnah, kami bersetuju bahawa pembeli perlu diberikan peluang untuk didengar sebelum sebarang keputusan dibuat (berhubung EOT” kata Hakim Harmindar semasa membacakan penghakiman.

Hakim itu berkata pembeli terdiri daripada satu kumpulan yang boleh dengan mudah dikenal pasti, sekurang-kurangnya mereka dimaklumkan tentang permohonan pemaju untuk pelanjutan masa untuk menyiapkan projek dan diberikan masa yang sesuai untuk menyatakan pendapat mereka sebelum keputusan itu dibuat.

“Oleh kerana hak untuk didengar tidak diberikan kepada pembeli, kami memutuskan bahawa keputusan yang dibuat dalam kes ini, sama ada oleh Pengawal atau Menteri, adalah batal dan tidak sah dan tidak mempunyai kesan dan perlu diketepikan,” katanya.

Panel hakim berkenaan membuat keputusan terhadap rayuan dikemukakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pengawal Perumahan di kementerian sama dan pemaju BHL Construction Sdn Bhd terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan semakan penghakiman oleh para pembeli rumah berkenaan untuk mencabar Peraturan 11(3) dan juga EOT dikeluarkan pada 17 Nov 2015.

Mahkamah Tinggi pada 27 Feb 2017, membenarkan permohonan semakan kehakiman atas asas bahawa Peraturan 11(3) adalah ultra vires terhadap Akta itu dan Pengawal tidak mempunyai kuasa untuk mengecualikan atau meminda kontrak belian antara pembeli dan pemaju.

Lebih 100 pembeli Kondominum Sri Istana di Jalan Klang Lama memfailkan semakan kehakiman terhadap tiga responden berkenaan. Mereka diwakili sepasukan peguam diketuai Andy Wong, yang mengendalikan kes itu secara pro bono atau percuma.

Mereka memohon perintah untuk membatalkan keputusan Pengawal,yang keputusan itu dibuat menerusi surat bertarikh 17 Nov 2015, meminda tempoh masa penyerahan harta milik kosong dari 36 bulan kepada 48 bulan dalam perjanjian Jual-Beli yang ditandatangani antara pembeli dan pemaju.

Dalam penghakiman semalam, Hakim Harmindar berkata mahkamah tidak bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Peraturan 11(3) Peraturan-Peraturan Pemajuan Rumah (Kawalan dan Pelesenan) 1989 adalah ultra vires.

“Mengikut penilaian kami, Peraturan 11(3) tidak ultra vires terhadap Akta itu kerana ketetapannya digubal untuk mengawal selia dan mengawal terma-terma dalam perjanjian seperti termaktub dalam Seksyen 24(2)(e) akta itu,” katanya.

Panel hakim itu juga memutuskan bahawa EOT diberikan kepada syarikat itu selama 12 bulan adalah batal dan tidak sah kerana ia tidak ditandatangani oleh Pengawal Perumahan, tetapi ditandatangani oleh individu bernama N. Jayaseelan, bagi pihak Pengawal.

“Oleh kerana menteri tidak memfailkan sebarang afidavit untuk memberikan penjelasan, hujahan bahawa menteri bukan pihak yang membuat keputusan itu mempunyai merit dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

“Kami dengan itu berpandangan bahawa perintah terkandung dalam surat bertarikh 17 Nov 2015 dibuat tanpa bidang kuasa dan ultra vires terhadap Akta itu. Sehubungan itu, kami memutuskan perintah dalam surat itu adalah batal dan tidak mempunyai kesan,” kata Hakim Harmindar.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.