Pelajar Mendaki Bukit Broga Ditemui Selamat

KAJANG – Dua pelajar antarabangsa yang sesat ketika mendaki Bukit Broga, Semenyih, kelmarin ditemui selamat, awal pagi tadi. Warga Kenya, Nyamu Wanyolke, 20, dan Katie Clubb, 19, dari Britain, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 2.45 pagi kira-kira satu kilometer (km) dari puncak Gunung Tok Wan. Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohd Sani Harul, berkata ketika ditemui kedua-dua mangsa dalam keadaan lemah kerana kekurangan bekalan makanan sejak 24 jam lalu tetapi tidak cedera. Katanya, mangsa akan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. “Mangsa ditemui berdasarkan perbualan pertama yang mengatakan berada di pondok tinggal kumpulan yang melakukan kerja ukur di situ. “Pasukan penyelamat sedang berusaha membawa mereka turun melalui Sungai Kacau,” katanya dalam satu kenyataan, pagi ini. Sebelum itu, mangsa yang berjaya dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), memaklumkan mereka selamat namun tidak dapat memberitahu lokasi secara tepat. Seorang mangsa sekali lagi dapat dihubungi menerusi panggilan telefon kira-kira jam 6 petang semalam. Seramai 48 anggota pelbagai agensi terbabit dalam operasi mencari mangsa, termasuk anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM)- BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!