Individu Cuba Rasuah Sultan Johor Menyerah Diri Kepada SPRM

PUTRAJAYA — Individu yang dikaitkan dengan cubaan merasuah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berhubung penganugerahan darjah kebesaran menyerah diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi, beberapa jam selepas beliau mengeluarkan amaran serah diri terhadap lelaki berumur 54 tahun itu.

“Siasatan sedang dijalankan,” kata Azam.

Azam ketika ditemui pemberita pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SPRM di sini memberitahu bahawa SPRM memberi tempoh sehingga 12 malam tadi kepada individu yang cuba merasuah Sultan Johor itu untuk menyerah diri.

Media yang berkumpul di perkarangan ibu pejabat SPRM itu tidak dapat melihat kelibat lelaki berkenaan.

Lelaki itu difahamkan ketika menyerah diri bersendirian tanpa ditemani peguam.

Pada 25 Mac lepas, Sultan Johor mendedahkan baginda menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran “Tan Sri” daripada Yang di-Pertuan Agong. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.