Rundingan ‘Terlajak Laris’ Taja Kedah Belum Ada Kata Putus

ALOR SETAR — Pasukan bola sepak Kedah masih teragak-agak dengan tawaran tajaan syarikat produk kosmetik dan kesihatan milik Datuk Aliff Syukri Kamarzaman.

 

Pemilik D’Herbs Holding (M) Sdn Bhd, yang popular dengan slogan “terlajak laris”, dalam rundingan dengan pasukan tersebut sejak Januari.

 

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berkata isu itu dijangka selesai selewat-lewatnya hujung April bagi memastikan kedua-dua pihak selesa dengan tawaran masing-masing.

 

“Buat masa ini kami belum memutuskan apa-apa kerana masih dalam perbincangan, namum perbincangan ini dijangka berakhir April,” kata Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah.

 

“Kalau boleh memang kami (KFA dan D’Herbs) mahu perkara ini diselesaikan awal, tapi banyak perbincangan dan persetujuan perlu dibuat,” kata menteri besar lagi seperti dilapor Harian Metro.

 

“Saya mahu apabila kami sudah terima nanti dan pihak mereka sudah memberi, ia (penajaan) berjalan dengan sempurna dengan kedua-dua pihak berasa selesa.”

 

Aliff minggu lalu memberi tempoh dua minggu kepada KFA memberikan kata putus dan tidak akan teragak-agak mahu beralih kepada pasukan lain selepas berakhir tempoh tersebut.

 

Beliau berkata keuntungan antara dua pihak perlu dicapai sama rata dan soal itu lebih terletak kepada KFA berbanding syarikatnya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.