Wifi Percuma Untuk Warga Kota – Tengku Adnan

Kuala Lumpur – Warga kota bakal menikmati kemudahan jalur lebar tanpa wayar (Wifi) secara percuma menerusi pelaksanaan projek Metro Wifi tidak lama lagi.

 

Menteri Wilayah Persekutuan, Dato Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, talian Internet di Malaysia merupakan satu keperluan khususnya penduduk di Lembah Klang.

 

“Perolehan Internet banyak memudahkan cara kerja semua pihak termasuklah menjimatkan masa kepada pengguna terutama dalam soal pembayaran bil-bil utiliti ,pendaftaran dalam talian dan sebagainya.

 

“Penggunaan Internet secara optimum membolehkan rakyat Malaysia bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dunia sekali gus melonjakkan taraf hidup warga Malaysia ke arah yang lebih tinggi khususnya dalam bidang pendidikan dan setaraf negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum kerjasama (MOC) dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Wilayah Persekutuan Infrastruktur Sdn Bhd (WPI), di sini hari ini.

 

Beliau turut menggesa wakil penduduk memantau penggunaan internet di projek ini bagi mengelakkan sebarang salahguna yang boleh membinasakan serta merugikan pengguna khususnya didalam Wilayah Persekutuan.

“Internet membolehkan kita melakukan pelbagai kegiatan tetapi jangan lupa, bahawa Internet juga ibarat serampang dua mata yang berupaya dimanfaatkan dan juga disalahgunakan untuk tujuan negatif.

 

“Internet juga boleh digunakan untuk penyebaran virus yang melumpuhkan jaringan, penyebaran maklumat pornografi, pemalsuan maklumat dan sebagainya,”katanya lagi.

 

Pusat Komersial Komuniti Bandar Tun Razak telah terpilih untuk menjadi perintis kepada projek ini sebelum ianya di sebar luas kepada parlimen-parlimen lain di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

 

Menurut Naib Presiden Eksekutif Global & Wholesale TM Mohamad Rozaimy Abd Rahman berkata buat permulaan, projek itu menyediakan infrastruktur akses Wifi percuma kepada 44 kompleks Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA) di sekitar ibu negara secara berperingkat.

 

“Pemasangan infrastruktur Wifi di kesemua 44 PPR dan PPA ini dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

 

Perjanjian itu ditandatangani antara Mohamad Rozaimy yang mewakili TM dan  Pengarah Urusan WPI Datuk Emil Rinaldi Syaiful.

 

Sementara itu, Emil Rinaldi berkata setakat ini kemudahan Wifi percuma itu sudah boleh digunakan sepenuhnya oleh penduduk PPR Bandar Tun Razak.

 

“Diharapkan inisiatif ini akan meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat dan merapatkan jurang digital antara penduduk Kuala Lumpur sekali gus menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya bertaraf dunia,” katanya.

 

Beliau berkata MOC yang ditandatangani itu bakal merintis kerjasama untuk memperluaskan projek Metro Wifi ke Putrajaya dan Labuan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.