Sidang DUN: Pembangkang ‘Hina’ Sultan Perak

Ipoh – “Ia satu tindakan biadap, tidak menghormati institusi diraja dan juga tidak bertamadun”.

 

Begitu ulasan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berikutan tindakan wakil pembangkang enggan memakai pakaian rasmi sempena istiadat pembukaan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Ke-13 hari ini, sebaliknya memakai pakaian serba hitam.

 

Jelasnya, hari ini melakar sejarah apabila buat pertama kalinya persidangan dihadiri Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Muizzudin Shah.

 

“Apa sahaja alasan yang diberikan tidak boleh diterima sama sekali….pembangkang jenis apa ini?” katanya.

 

Jelasnya lagi, istiadat tersebut juga meraikan Sultan Perak yang pertama kalinya memakai pakaian rasmi sebagai sultan.

 

“Sepatutnya jika mempunyai perbezaan, mereka boleh memakainya esok.

 

“Walaupun tidak ada peraturan dan undang-undang tetapi ia melibatkan majlis adat istiadat dan tanda hormat kepada Sultan Perak,” katanya.

 

Katanya lagi, pihak pembangkang bertindak memakai pakaian hitam yang melambangkan kematian, kesedihan dan kegelapan.

 

“Saya rasa kecewa sekali dan walaupun perbezaan tetap ada, ia tidaklah sampai ke peringkat ini dan yang dimalukan adalah pihak Tuanku,” katanya.

 

Berikutan tindakan tersebut, sesi bergambar terpaksa dibatalkan dan tindakan itu jelas mengguris perasaan Sultan Perak berikutan insiden tersebut, kata Zambry.

 

Sementara itu, Speaker, Datuk S. K. Devamany turut menyuarakan kekecewaannya berikutan tindakan pembangkang hari ini.

 

“Hari ini adalah hari paling bersejarah kerana pemasyhuran Tuanku yang memilih sendiri tarikh perasmian dewan,” katanya.

 

Tegasnya lagi, pihak pembangkang tidak seharusnya membawa isu politik nasional dalam dewan tersebut selain jelas enggan memberi kerjasama dalam menjaga kemakmuran negeri Perak.

 

 

 

 Berikut adalah kenyataan Menteri Besar Perak di laman Facebooknya sebentar tadi:

 

Upacara istiadat pembukaan Dewan Undangan Negeri Perak hari ini dicemarkan dengan tindakan biadap wakil pembangkang yang memilih untuk tidak mengenakan pakaian istiadat bagi menghormati keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah merasmikan sidang DUN ke-13.

 

Kesemua wakil pembangkang sepakat menghadiri upacara istidiat dengan suit serba hitam manakala baju Melayu serba hitam bagi kalangan pembangkang beragama Islam.

 

Ternyata tindakan wakil rakyat pembangkang ini merupakan satu perbuatan biadap dan tidak menghormati Sultan Nazrin yang berangkat hadir untuk merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri buat kali pertama sebagai Sultan Perak setelah dimasyhurkan pada 29 Mei, 2014.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.