PKR, DAP Sabah Beku Kerjasama Politik Dengan PAS

KOTA KINABALU – Jika Rabu lalu DAP Sabah membekukan hubungan dengan Pas Labuan, kini parti itu bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri memutuskan kerjasama politik dengan Pas Sabah.

 

Jurucakap DAP dan PKR negeri, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, ke­sepakatan itu dibuat berdasarkan keputusan Pas Sabah yang sealiran dengan pemimpin pusat parti tersebut dalam melaksanakan hukum hudud.

 

Beliau yang juga Ketua Pembangkang negeri berkata, DAP Sabah dan PKR negeri terpaksa mengambil keputusan sukar tersebut setelah berbincang lebih seminggu, selain setelah mengadakan satu pertemuan bersama empat pemimpin tinggi Pas Sabah yang berlangsung awal pagi ini.

 

Katanya, keputusan itu juga dibuat setelah satu tempoh masa dan ruang yang cukup diberikan kepada Pas Sabah untuk menyatakan pendirian untuk terus berada dalam pakatan pembangkang di negeri ini.

 

“PKR dan DAP Sabah hari ini menyatakan pendirian untuk memutuskan hubungan kerjasama politik de­ngan Pas Sabah ekoran keputusan pemimpin Pas negeri yang sealiran dengan Pas pusat dalam melaksanakan hukum hudud.

 

“Meskipun begitu, tiada tempoh masa untuk penggantungan kerjasama politik ini. Buat tempoh sementara waktu, segala program pakatan pembangkang di negeri ini akan melibatkan DAP dan PKR Sabah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

 

Yang hadir sama Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin. Namun tiada seorang wakil Pas Sabah dalam sidang akhbar tersebut.

 

Mengulas lanjut, Lajim berkata, sebagai majoriti dalam pakatan pembangkang di Sabah, PKR dan DAP akan bersama membawa serta merancang program kumpulan pakatan tersebut di negeri ini.

 

Menurutnya, kedua-dua parti itu akan menggunakan kuasa autonomi seperti yang diberikan dalam mengatur segala perancangan di negeri ini tanpa kehadiran Pas ne­geri.

 

Sementara itu tegasnya, barisan kepimpinan Islam di dalam kedua-dua parti tersebut tidak sama sekali menolak hukum hudud yang merupakan syariah Islam, namun tidak mahu pelaksanaan hukum berkenaan dilakukan pada masa ini.

 

Jelasnya, tiada keperluan mendesak untuk hudud dilaksanakan di negara ini pada masa ini ekoran pelbagai masalah negara yang perlu diperjuangkan oleh pembangkang termasuk isu rasuah, kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS), hutang negara serta kemiskinan rakyat Sabah.

 

“Malah terdapat ilmuan Islam di dunia yang menyatakan keperluan melaksanakan hukum hudud masih belum ada dan terdapat negara Islam lain menangguhkan pelaksanaan hukum ini. Berdasarkan perkara ini, PKR negeri memutuskan tiada keperluan melaksanakan hukum hudud pada masa ini,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.