Pastikan Rakyat Kuasai Bahasa Kebangsaan – Sultan Nazrin

Ipoh – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah kerajaan perlu memastikan setiap warga Malaysia dididik daripada alam persekolahan untuk berupaya menguasai bahasa kebangsaan negara.

 

Baginda bertitah dasar keterbukaan kerajaan persekutuan terhadap aliran bahasa pengantar di sekolah tidak bermakna kerajaan boleh terlepas pandang kepada aspek ini.

 

“Apalah ertinya menjadi warga kepada sebuah negara jika seseorang itu langsung tidak memahami jauh sekali daripada boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan negaranya,” titah baginda semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-13 di Ipoh hari ini.

 

Sultan Nazrin bertitah bahasa berperanan penting sebagai saluran komunikasi kerana keupayaan berkomunikasi amat penting untuk menjalin perpaduan serta meningkatkan perhubungan.

 

Baginda juga bertitah setiap sekolah, terutama sekolah bukan aliran kebangsaan, mempunyai tanggungjawab besar dan tanggungjawab bersama untuk menyemai semangat patriotisme serta pengetahuan ketatanegaraan kepada setiap murid.

 

Dalam titah perasmian itu, baginda turut menyentuh banjir besar pada akhir tahun lepas dan awal tahun ini yang menjejaskan kehidupan 400,000 mangsa serta mengakibatkan kemusnahan infrastruktur mencecah nilai RM2.9 bilion.

 

Di Perak, daerah yang dilanda banjir ialah Hulu Perak, Kerian, Kuala Kangsar, Perak Tengah, Manjung dan Hilir Perak membabitkan 12,115 mangsa daripada 2,896 keluarga di 77 pusat pemindahan.

 

“Beta sendiri menyaksikan dengan hiba kemusnahan yang berlaku ke atas rumah kediaman, harta benda serta sumber kehidupan mangsa yang terlibat,” titah baginda.

 

Sehubungan itu, Sultan Nazrin bertitah kerajaan negeri dan persekutuan perlu merangka pelan induk jangka panjang untuk menghadapi serta menangani bencana banjir.

 

“Aset logistik sedia ada perlu ditambah serta dinaik taraf bagi memudahkan aktiviti komunikasi dan menyelamat,” titah baginda yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

 

Sultan Nazrin turut bertitah rancangan kerajaan negeri untuk menubuhkan Lembaga Pelabuhan Perak adalah langkah tepat berikutan pembangunan industri yang pesat di perairan Perak, khususnya di daerah Manjung untuk mengawal dan memantau pergerakan kapal-kapal secara lebih teratur dan sistematik.

 

“Ketika ini, tidak ada badan khusus yang mengawal selia secara menyeluruh pengurusan dan aktiviti pelabuhan serta levi dan pengeluaran lesen operasi pelabuhan selain Lumut Maritime Terminal melalui perjanjian konsesi yang akan tamat pada 23 Julai ini.

 

Baginda juga bertitah perancangan kawasan bandar dan luar bandar hendaklah diselaras dengan doktrin pembangunan yang disandar kepada tiga teras hubungan iaitu hubungan manusia dengan Penciptanya, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitar.

 

“Program mengitar semula bahan buangan hendaklah ditingkatkan, sektor perkilangan hendaklah digalakkan malah ditawarkan insentif untuk menggunakan teknologi hijau dan teknologi bersih.

 

Baginda turut bertitah tindakan penguatkuasaan untuk mengawal kualiti alam sekitar hendaklah dilaksanakan secara tegas terutama kegiatan penerokaan hutan secara haram.

 

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah kerajaan negeri Perak akan berusaha menggalak serta mendorong penglibatan bumiputera yang lebih ramai dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memandangkan ketika ini hanya 20% PKS berdaftar di negeri ini terdiri daripada bumiputera. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.