Memerangi Keganasan: Rang Undang-Undang POTA Dibentang

KUALA LUMPUR – Dua rang undang-undang baharu yang akan membolehkan pihak berkuasa memerangi ancaman keganasan secara lebih berkesan iaitu Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

 

Rang undang-undang tersebut yang dilihat cukup bertaring dalam membantu pihak berkuasa memastikan tidak berlaku penularan aktiviti keganasan ke negara ini, dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

 

Jika diluluskan, POTA akan membolehkan pihak berkuasa menahan selama tidak lebih dua tahun sebelum melanjutkan tempoh tahanan jika perlu, ke atas individu atau kumpulan yang disyaki terlibat dengan sebarang aktiviti keganasan tanpa boleh dicabar oleh mana-mana mahkamah di negara ini.

 

Bagaimanapun, arahan untuk menahan atau melanjutkan tempoh tahanan setelah didapati suspek terlibat, tidak diletakkan di bawah polis atau Menteri Dalam Negeri, sebaliknya diuruskan lembaga bebas yang terdiri daripada pakar undang-undang yang akan dilantik oleh Yang di-Pertuan ­Agong.

 

“Tiada apa-apa kajian semula kehakiman dalam mana-mana mahkamah mengenai dan tiada mahkamah mempunyai atau boleh menjalankan apa-apa bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa tindakan atau keputusan yang dibuat oleh lembaga,” demikian menurut kertas rang undang-undang tersebut.

 

Cadangan agar POTA diwujudkan mula timbul selepas pembabitan ramai rakyat negara ini dengan kegiatan militan di Syria yang dibimbangi akan menular pula ke Malaysia jika tindakan tegas tidak diambil pihak berkuasa.

 

Setakat ini seramai 71 rakyat Malaysia dikenal pasti terbabit menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) dengan 10 daripadanya telah pun terbunuh ketika bertempur dengan pasukan keselamatan Syria.

 

Bagi Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan Luar Negara 2015 pula, Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah Imigresen mempunyai kuasa untuk menggantung atau membatalkan dokumen perjalanan Malaysia yang dikeluarkan kepada seseorang individu yang terlibat dengan militan.

 

Selain memberi fokus kepada rakyat tempatan, rang undang-undang tersebut juga terpakai kepada warga asing yang berada di negara ini dan disyaki terlibat dengan kegiatan militan di luar negara, baik sekadar menyokong atau terbabit secara langsung.

 

Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri menerusi Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, turut membentangkan pindaan terhadap lima undang-undang sedia ada bagi memantapkan lagi akta tersebut.

 

Lima undang-undang berkenaan ialah Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) 2015; Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015; Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015; Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015 dan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA (Pindaan) 2015. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.