Kerajaan Iktiraf Pelajar Cemerlang – Muhyiddin

Kuala Lumpur – Kerajaan komited untuk mengiktiraf dan menghargai kecemerlangan pelajar-pelajar seiring dengan matlamat negara mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pembangunan modal insan yang berterusan dan terancang sentiasa dilakukan kerajaan melalui pelbagai program dan inisiatif bagi mencapai misi tersebut.

 

“Usaha ini akan memastikan bilangan tenaga sumber manusia yang berpengetahuan serta berkemahiran tinggi terus meningkat dalam menghasilkan apa yang dipanggil bakat untuk masa depan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian surat tawaran Program Biasiswa Nasional 2015 di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Kuala Lumpur, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

 

Muhyiddin berkata justeru itu, kerajaan amat berharap pelaburan jangka panjang seperti Program Biasiswa Nasional yang masuk tahun keenam ini dapat menghasilkan modal insan berkualiti bagi meneruskan pembangunan negara ke arah mencapai Wawasan 2020.

 

Muhyiddin yang juga menteri pendidikan yakin dengan ilmu dan kepakaran yang diperoleh pelajar program tersebut dari universiti terkemuka dunia dan tempatan ini akan melahirkan graduan yang terbaik dan berketerampilan.

 

“Modal insan terbaik seperti inilah yang diperlukan negara supaya kepakaran mereka dapat digembleng untuk menyumbang kepada usaha-usaha kerajaan bagi memastikan mencapai negara berdaya saing di peringkat global.

 

“Kejayaan ini akan dicapai dan diterajui anak tempatan sendiri sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing,” katanya yang menambah sebanyak 151 pelajar program tersebut kini sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di universiti seperti Universiti Malaya, Universiti Oxford dan Universiti California.

 

Muhyiddin menarik perhatian penajaan kepada pelajar cemerlang turut mengambil kira keperluan semasa negara untuk memperkasakan bidang pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT), Keselamatan, serta Sains Data.

 

“Saya amat berbangga dengan anda (para pelajar). Saya berharap anda terus cemerlang dalam tahun-tahun akan datang. Kepada ibu bapa, ini satu pelaburan yang diharap hasilkan keputusan yang baik untuk negara,” katanya.

 

Program Biasiswa Nasional diperkenalkan sejak 2010 dengan penawaran kepada hanya 30 orang pelajar sebelum dipertingkatkan setiap tahun.

 

Program ini merupakan satu program penajaan yang berprestij kepada pelajar-pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bidang akademik untuk melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka dunia di dalam dan luar negara.

 

Pelajar akan ditaja bermula dari peringkat persediaan sehinggalah ke peringkat Ijazah Pertama dalam pelbagai bidang. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.