Keluarga Allahyarham Nik Aziz Nafi Bina Serkup Besi Di Kubur

Kuala Lumpur – Anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan dakwaan kononnya gambar yang sedang menjadi viral mengenai kubur ayahandanya yang dibina pagar bertutup sengaja dipasang ahli keluarga.

 

Menurut Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, pagar tersebut telah dibina oleh penduduk kampung dan bekas murid Allahyarham Nik Aziz tanpa pengetahuan keluarga beliau.

 

“Saya mohon menjelaskan bahawa binaan itu telah dibina oleh individu penduduk kampung dan murid ayahanda tanpa pengetahuan pihak kami sekeluarga.

 

“Tujuannya baik, iaitu untuk mengelak perbuatan bidaah yang jahil bertentangan ajaran Islam, seperti mengambil tanah untuk tujuan ‘berkat’ yang hakikatnya adalah ‘sesat,” kata Nik Abduh menerusi posting Facebooknya.

 

Nik Abduh kubur nik aziz

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menjelaskan, walaupun tujuannya adalah baik, namun pihaknya tidak bersetuju dengan binaan tersebut malah telah membuat keputusan untuk memindahkan pagar pada kadar segera.

 

“Kami sepakat bahawa ia diletakkan dengan status ‘sementara’ atas maslahat di atas. Ia akan dipindahkan dalam tempoh terdekat insya Allah,” katanya.

 

Sehubungan itu, pihak keluarga akan mengekalkan kubur Allahyarham dengan binaan batu nisan tanpa ada sebarang binaan lain di sekitar kawasan makam tersebut.

 

Walaupun sudah sebulan lebih Allahyarham Nik Aziz meninggal dunia, sehingga kini pusara beliau masih diziarahi seluruh rakyat Malaysia.

 

Bekas Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS itu meninggal dunia pada 12 Januari lalu kira-kira jam 9.40 malam di sisi anggota keluarga di kediamannya di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan. Beliau berumur 84 tahun.

 

 

Baca: Kubur Nik Aziz Dipagari Kurungan Besi?

 

 

 

Berikut adalah kenyataan penuh beliau berhubung isu ini:

 

 

Makluman Berkaitan Kubur Al Marhum Ayahanda

 

Ada sebaran dan viral gambar kubur al Marhum ayahanda yang dipasang binaan pagar bertutup dan telah menimbulkan persoalan ramai.

 

Saya mohon menjelaskan bahawa binaan itu telah dibina oleh individu penduduk kampung dan murid ayahanda tanpa pengetahuan pihak kami keluarga. Tujuannya baik, iaitu untuk mengelak beberapa perbuatan bidaah yang bertentangan ajaran Islam yang suci oleh beberapa individu ‘jahil dan rosak hati’ yang datang dari luar seperti mengambil tanah untuk tujuan ‘berkat’ yang hakikatnya adalah ‘sesat’.

 

Walau bagaimanapun pihak keluarga tidak setuju dengan binaan tersebut dan kami sepakat bahawa ia diletakkan dengan status ‘sementara’ atas maslahat di atas. Ia akan dipindahkan dalam tempoh terdekat insya Allah.

 

Kubur al Marhum ayahanda rahimahuLlah akan kekal dengan sunnah nabawiyah. Tanpa binaan selain batu nisan.

 

Mohon maaf dan terima kasih atas perihatin semua.

 

 

Terima kasih.

 

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Anakanda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.