Hilang Kaki Akibat Kanser Tulang

ARAU – Seorang bekas kakitangan Keretapi Tanah Melayu (KTM) terlantar di rumah  apabila kehilangan kedua-dua kaki akibat kanser tulang.

 

Salleh Senik, 58, dari Kampung Kubang Gajah di sini, turut mengidap penyakit strok menyebabkan tangan kanannya tidak dapat bergerak selain hilang upaya bercakap seperti insan lain.

 

Isterinya, Rahmah Ishak, 64, berkata, Salleh menderita penyakit itu sejak 11 tahun lalu menyebabkan dia terpaksa mengambil alih tugas mencari nafkah keluarga.

 

Menurutnya, kaki kanan suaminya dipotong pada 2003 manakala kaki kiri pada 2011 dan akibat penyakit itu juga Salleh turut kehilangan sebatang jari di tangan kiri.

 

“Penyakit itu mengakibatkan bahagian tubuh suami sangat sensitif dengan luka yang akan menyebabkan bahagian yang terluka menjadi buruk sehingga anggota itu terpaksa dipotong,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di sini, semalam.

 

Rahmah berkata, sebelum ini dia pernah bekerja di sebuah kantin sekolah dengan upah RM6 sehari menyebabkan anak-anaknya terpaksa berhenti sekolah.

 

Jelasnya, kini lima anak mereka sudah dewasa dan hanya bekerja sebagai pembantu kedai atau buruh untuk meneruskan kehidupan.

 

“Kini dua anak lelaki saya yang menanggung keperluan kami sekeluarga manakala dua anak perempuan saya berkahwin dan menjadi suri rumah sepenuh masa, anak bongsu saya pula baru sahaja berhenti kerja di Kuala Lumpur.

 

“Bil air rumah ini sudah mencecah RM2,000 disebabkan kami tidak mampu membayarnya kerana gaji anak-anak hanya cukup untuk memberi ubat suami dan barangan keperluan,” katanya.

 

Rahmah berkata, rumah yang mereka diami agak kecil sehingga menyebabkan anak-anak terpaksa tidur di ruang tamu.

 

Menurutnya, bagi memudahkan suaminya pergi ke bilik air, dia memerlukan dana untuk membina kemudahan itu berhampiran ruang tamu.

 

“Apabila anak-anak tiada di rumah, saya terpaksa mengheret suami pergi ke bilik air, sebab itulah kami perlu sediakan bilik air yang dekat dengan ruang tamu,” katanya.

 

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi mereka di talian 014-2398774. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.