GLC Pinggirkan Kakitangan Melayu

Kuala Lumpur – Perkasa mendakwa pihaknya menerima aduan terhadap sebuah syarikat berkaitan kerajaan (sebuah institusi kewangan) yang cuba meminggirkan pekerja Melayu kononya dengan alasan Indeks Prestasi Utama (KPI) mereka rendah.

 

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata beliau menerima aduan daripada kira-kira 10 pekerja daripada jabatan teknologi maklumat (IT) pada bulan Februari lepas yang mengadu mengenai masalah itu untuk kali kedua.

 

“Daripada apa yang mereka memberitahu saya, syarikat itu dengan sengaja berniat untuk ‘mengurangkan’ bilangan pekerja Melayu,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

 

Katanya lagi, syarikat itu menggunakan beberapa helah untuk mengeluarkan mereka daripada terus berkhidmat di syarikat itu.

 

“Oleh kerana pencapaian KPI yang rendah, mereka didesak meninggalkan kerja itu termasuk ditawarkan skim persaraan awal sebagai kaedah untuk menghala mereka keluar dari syarikat itu,” jelas beliau.

 

Syed Hassan menambah bahawa jabatan IT itu kini dikuasai oleh kakitangan bukan Melayu di peringkat pengurusan.

 

“Ia tidak adil kepada mereka kerana mereka juga menyumbang untuk syarikat itu.”

 

Justeru, Syed Hassan menggesa kerajaan campur tangan dalam perkara itu apabila ia melibatkan syarikat GLC.

 

“Kita perli melihat semula bagaimana KPI telah diberi dan lakukan penilaian dengan tepat mengenai prestasi kakitangan itu,” kata beliau.

 

Beliau menambah Perkasa juga akan mengadakan perbincangan meja bulat dalam masa dua minggu lagi dengan syarikat tersebut.

 

“Kami akan menjemput pihak-pihak yang berkaitan untuk datang dan berbincang mengenai isu yang mendesak ini. Dari situ, kita akan membentangkan resolusi kepada kerajaan mengenai perkara tersebut,” kata Syed.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.