Ceramah PKR – PAS Selangor Hambar

Shah Alam – Perkongsian pentas antara PKR dan PAS Selangor untu menjelaskan isu hudud dan kontrovesi lain di negeri ini mendapat sambutan hambar dengan kehadiran hanya kira-kira 50 orang malam tadi.

 

Meskipun membariskan penceramah seperti Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Nurul Nuha Anwar, ceramah perdana itu gagal menarik kehadiran penduduk setempat.

 

Ceramah perdana itu diatur setelah tunjuk perasaan #Kita Lawan anjuran PKR di Kuala Lumpur Sabtu lalu juga mendapat sambutan dingin dengan hanya kira-kira 1,000 menyertainya.

 

Dalam ucapannya, Khalid cuba menyalahkan Umno sebagai dalang yang menggunakan isu hudud untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat.

 

“Bagi Umno-BN, parti yang paling senang diumpan keluar PR adalah PAS. Inilah yang sedang diusahakan. Ia tunjuk ia Islamik, buat program selawat perdana dan sebagainya. Termasuklah soal nak beri laluan kepada syariat Islam dan sebagainya,” katanya.

 

Namun kata beliau, ‘warna’ sebenar Umno-BN terdedah apabila mula berdolak dalik berhubung pendirian terhadap hukum jenayah Islam berkenaan kebelakangan ini, yang mana ia dilihat ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri Sarawak tidak lama lagi.

 

“Itulah sebabnya bila Datuk Mahfuz (Omar) tanya (Datuk) Jamil Khir sama ada mahu sokong atau tidak, Jamil Khir tak mahu sebut,” kata beliau.

 

Semua 12 ADUN Umno di Dewan Undangan Negeri Kelantan sebelum ini menyokong pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah 1993 ke arah melaksanakan hudud di Kelantan sebagaimana yang di tuntut oleh PAS.

 

Bagaimanapun hudud hanya boleh dilaksanakan jika Parlimen meminda undang-undang bersabit kuasa Mahkamah Syariah. Pindaan itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen Umno bagi membolehkan PAS mendapatkan majoriti mudah untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom sebelum ini memberitahu Parlimen bahawa pindaan kuasa-kuasa Mahkamah Syariah membabitkan semua negeri, justeru pihaknya sedang mendapatkan maklum balas yang diperlukan.

 

Dalam ceramahnya itu Khalid tidak membangkitkan dalil PKR sendiri menolak pelaksanaan hudud di Kelantan. Parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menegaskan Ahli Parlimen
PKR tidak akan menyokong pindaan bersabit hudud di Parlimen.

 

Dalam pada itu, anak Anwar, Nurul Nuha membuat pelbagai tuduhan terhadap polis yang di dakwa beliau sebagai tidak bertanggungjawab dan berat sebelah menjalankan tugas.

 

“Adik saya Nurul Ilham, rumahnya dipecah masuk minggu lepas. Tidak ada tindakan. Isteri kepada Nik Nazmi yang diragut, tidak pula polis mengambil tanggungjawab untuk mencari dan menangkap (peragut).

 

“Cuma pembangkang (yang ditangkap),” ujarnya.

 

Pihak polis sebelum ini menafikan tuduhan-tuduhan pembangkang kononnya mereka menjadi sasaran dalam tindakan tegas yang diambil mereka untuk membanteras penganjuran tunjuk perasaan haram atau penyebaran berita yang tidak benar dan boleh menggugat ketenteraman awam.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.