Anwar Dapat Keistimewaan Di Penjara Sungai Buloh

SUNGAI BULOH – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi ‘keistimewaan’ agar mendapat haknya sepanjang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh.

 

Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata, Anwar diberikan jamban duduk dan tilam yang sesuai bagi rawatan sakit tulang belakang yang dihidapinya selama ini.

 

“Selain itu, Anwar juga mendapat rawatan pakar daripada empat pakar perubatan untuk memantau keadaan kesihatannya.

 

“Pengarah penjara juga bersetuju untuk memberikan Anwar bahan bacaan yang telah disahkan tidak terlarang selepas disemak,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika bersama beberapa Ahli Parlimen PR, cuba melawat Ahli Parlimen Permatang Pauh yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya, hari ini di Penjara Sungai Buloh.

 

Antara yang turut bersama Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail; Ahli Parlimen Lumut, Mohamad Imran Abd Hamid dan Ahli Parlimen Sepang, Hanifah Maidin.

 

Jelas Johari, walaupun mereka tidak dibenarkan berjumpa Anwar, tetapi penjelasan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Narender Singh berhubung rutin Ketua Umum PKR itu dikira puas hati.

 

“Kami diberi penerangan semua aktiviti beliau dalam penjara.

 

“Ahli Parlimen tidak diberikan akses melawat kerana peruntukkan undang-undang negara, yang dibenarkan adalah ahli keluarga, peguam dan Menteri Besar Selangor kerana Datuk Seri masih penasihat ekonomi negeri,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.