7 Lelaki Geng Kongsi Gelap Tetak Ahli Perniagaan Dikenal Pasti

Kuala Lumpur – Pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap dipercayai punca kejadian sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyerang tetamu pada satu majlis di sebuah restoran di Tanjung Tokong di George Town pada Ahad malam.

 

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata 7 lelaki dipercayai anggota geng kongsi gelap 04 disyaki terlibat dalam serangan itu yang menyebabkan seorang ahli perniagaan cedera akibat ditetak dengan parang.

 

“Polis telah mengenal pasti tujuh lelaki terbabit dan yakin dapat menahan lelaki berusia 20 hingga 30 tahun itu dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai dan Anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM), di George Town hari ini.

 

Beliau berkata, siasatan mendapati, penyerang berkenaan cuba membalas dendam terhadap sebuah lagi kumpulan kongsi gelap dan difahamkan ada ahli geng terbabit hadir pada majlis itu.

 

“Bagaimanapun mangsa yang cedera bukan anggota mana-mana geng kongsi gelap dan dia kebetulan berada di lokasi kejadian kerana menghadiri majlis kenalannya,” katanya.

 

Dalam kejadian pada 9.55 malam itu, lelaki berusia 50-an yang menghadiri sambutan kelahiran anak rakannya, cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyerang sebuah khemah di hadapan restoran berkenaan, yang turut menempatkan 15 tetamu lain.

 

Abdul Rahim berkata ahli perniagaan berkenaan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang dan keadaannya dilapor stabil.

 

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Rahim berkata pihaknya menyasarkan pertambahan 1,159 anggota SSPDRM tahun ini sebagai langkah mempergiatkan lagi operasi polis dalam membanteras kegiatan jenayah di negeri ini.

 

Beliau berkata, pada masa ini, kontinjen Pulau Pinang mempunyai 1,389 anggota SSPDRM.

 

“Mereka ini juga memainkan peranan penting dalam menarik masyarakat untuk bersama-sama polis menangani jenayah,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.