Rakyat Semakin Muak Tengok Menteri ‘Bergaduh’ Sesama Sendiri, Kata Daim

SHAH ALAM – Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin semalam menasihatkan sesetengah menteri Kabinet supaya tidak terus “bergaduh” sesama sendiri secara terbuka kerana boleh menimbulkan rasa muak rakyat kepada kerajaan.

Beliau berkata meskipun difahami semua menteri Kabinet adalah baru, namun sikap seumpama itu tidak boleh dibiarkan sebaliknya mereka disaran supaya sentiasa menunjukkan semangat bersatu padu.

“Selama 50 tahun jadi pembangkang tetapi apabila menang sama-sama, mereka masih bergaduh sesama sendiri.

“Saya sudah beritahu banyak kali, 6 bulan bolehlah jika hendak bergaduh. Kalau lepas itu masih nak bergaduh, lama-lama rakyat makin muak,” katanya di wacana Atmosfera Ekonomi Bumiputera Masa Hadapan di Universiti Teknologi Mara.

Oleh itu, kata beliau, lebih elok sekiranya barisan menteri fokus bekerja sebagai satu pasukan dengan penjawat awam dan pelbagai agensi bawah kementerian masing-masing kerana mereka mempunyai kebolehan serta kelulusan yang baik.

“Ada menteri buat kerja tanpa minta pandangan. Apabila ini berlaku, penjawat awam akan lepas tangan. Ini antara punca mengapa banyak perkara gagal dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Daim menyifatkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan hampir 50 tahun lepas untuk memberi segala bantuan dan sokongan kepada kaum Melayu gagal mencapai matlamatnya apabila pada masa kini, majoriti daripada kaum itu masih “kais pagi, makan pagi”.

Beliau berkata kira-kira 75% daripada golongan berpendapatan rendah (B40) terdiri daripada kaum Melayu yang masih bergantung kepada subsidi kerajaan untuk meneruskan hidup.

Disebabkan itu, tegas beliau, sesetengah orang Melayu seharusnya bertanya kepada diri sendiri mengapa mereka masih terkebelakang walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai polisi untuk membantu golongan tersebut.

Malah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sebelum ini diagihkan kepada rakyat juga menjadi “candu” apabila terus ditagih kebanyakan masyarakat Melayu.

“Cash telah menjadi ‘Raja’. ‘Raja’ itu mesti ada berbilion ringgit…’raja’ menjadi penipu dan pencuri. Sedangkan penyokong ‘kangkong’ terus menyokong ‘raja’. Rakyat naik benci, wang ke mana, ‘raja ke mana.

“Rakyat mahukan pemimpin yang amanah, bertanggungjawab, pentingkan rakyat dan negara. Maka, pada 9 Mei 2018, rakyat telah bebaskan rakyat dan rakyat merdeka semula,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.