PSM Tanding PRK Semenyih, 3 Calon Penuhi Kriteria Dikenal Pasti

PETALING JAYA – Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengenal pasti 3 calon yang memenuhi syarat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan diadakan 2 Mac ini.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan berkata, ketiga-tiga calon terbabit adalah dari kawasan Semenyih dan tidak ada calon bidang terjun yang akan dikemukakan oleh parti itu.

“3 orang telah dikenal pasti memenuhi syarat untuk bertanding, iaitu mereka yang pernah buat kerja di kawasan itu dan tak ada calon bidang terjun.

“Jawatankuasa pusat akan bermesyuarat dan berbincang pada 3 Feb nanti. Saya percaya mesyuarat itu akan putuskan siapa (calon) yang akan bertanding,” katanya ketika dihubungi FMT, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata, PRK Semenyih akan diadakan 2 Mac ini.

Beliau berkata, hari penamaan calon PRK itu ditetapkan pada 16 Feb ini, manakala hari mengundi awal pada 26 Feb.

PRK DUN Semenyih diadakan selepas kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, daripada PPBM pada 11 Jan lepas. Beliau meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lepas, Bakhtiar menewaskan penyandang, Datuk Johan Abdul Aziz (BN), Mad Shahmiour Mad Kasim (PAS) dan Arutchelvan (PSM) dengan undi majoriti sebanyak 8,964.

Bakhtiar mendapat 23,428 undi menewaskan pencabar terdekatnya, Johan daripada Umno yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di kerusi itu selama 2 penggal.

Menurut SPR terdapat seramai 54,503 pemilih yang layak mengundi dalam PRK Semenyih mengikut daftar pemilih suku ketiga 2018 yang dikemas kini sehingga 11 Jan lepas.

PRK Semenyih merupakan PRK keempat diadakan di Selangor selepas pilihan raya umum 9 Mei, iaitu selepas PRK DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Mengulas lanjut, Arutchelvan berkata dalam polisi parti itu, seseorang calon yang akan bertanding dalam pilihan raya perlulah “membuat kerja” di kawasan terbabit selama 2 tahun.

“Itu kriteria. Berdasarkan kriteria itu kita ada 3 orang yang telah memenuhi syarat itu,” jelasnya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.