Kalah PRK Cameron Highlands Tanda Amaran Rakyat, Kata Pemimpin PH Kelantan

GUA MUSANG – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta tidak hanya mencari kesalahan Barisan Nasional (BN) semata-mata sehingga terlupa tugas mereka sebenar iaitu berkhidmat kepada rakyat dan menjaga kebajikan mereka

Ahli Majlis Pimpinan PH Kelantan yang mewakil masyarakat Orang Asli, Nasir Dollah berkata, kekalahan teruk calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands Sabtu lalu seolah-olah amaran rakyat kepada kerajaan.

Katanya, rasa tidak puas hati rakyat turut ditambah dengan kegagalan kerajaan PH menunaikan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Sepanjang saya turun berkempen bagi pihak calon PH di PRK itu pelbagai isu dibangkitkan pengundi di kawasan berkenaan terutamanya kos sara hidup tinggi dan harga komoditi yang jatuh dengan teruk.

“Kekalahan itu adalah amaran rakyat kepada pentadbiran kerajaan sekarang yang masih lembab dan tidak tegas,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dalam PRK Cameron Highlands, calon BN, Ramli Mohd. Nor menang dengan memperolehi undi 12,038, menewaskan calon PH, M. Manogaran yang hanya memperolehi 8,800 undi.

Dua calon bebas yang turut bertanding, Sallehudin Ab. Talib mendapat 314 undi dan Wong Seng Yee, 276 undi.

Nasir yang juga bekas calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada PRU-14 lalu berkata, pengundi Orang Asli di Cameron Highlands yang sebelum ini penyokong PH didapati turut mengundi calon BN.

Katanya, walaupun bilangan pengundi Orang Asli yang menyokong PH menunjukkan peningkatan, rata-rata mereka masih mempertikaikan kegagalan kerajaan PH menunaikan janji.

“Saya berharap kerajaan lebih peka dengan situasi ini dan jangan beralasan serta asyik mencari kesalahan parti lain. Saya sangat kecewa dengan kenyataan kerajaan yang hanya menuding jari kepada orang lain.

“PH sudah jadi kerajaan dan perlu tunaikan janji dan laksanakan tugas dengan lebih baik seperti yang dikehendaki rakyat,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.