MARA Gantung Tugas Annuar Musa Kes Tajaan TRW, UniKL

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini memutuskan menggantung tugas Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi berkuat kuasa serta merta.

 

Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat tergempar di ibu pejabat MARA, di sini yang dipengerusikan Datuk Dr Yusof Yacob dan Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin.

 

Jawatan beliau sebagai Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) juga digantung berkuat kuasa tarikh sama, selaras hasrat agensi dalam memastikan kepentingan dan amanah rakyat sentiasa dipelihara.

 

Semua tugas Annuar di agensi berkenaan akan dipangku oleh Dr Yusof.

 

Dr Yusof berkata, Annuar sudah dimaklumkan mengenai penggantungan tugasnya dan beliau akur dengan keputusan itu.

 

“Hari ini kita bermesyuarat mengenai isu semasa dan keperluan untuk mempertahankan integriti serta pengurusan korporat MARA, justeru Ahli Majlis sebulat suara dalam beberapa keputusan.

 

“Kita bersetuju membincangkan isu tajaan MARA melalui PMB dan UniKL terhadap pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warrior (TRW) yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.

 

“Sehubungan itu, MARA terpaksa mengambil tindakan tuntas dengan menggantung tugas Annuar supaya isu ini tidak berlarutan sehingga menyebabkan keyakinan rakyat kepada pengurusan kerajaan semakin terhakis,” katanya dalam sidang media, di ibu pejabat MARA, di sini sebentar tadi.

 

Isu berkenaan tercetus selepas Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa MARA dan UniKL mengeluarkan dana bagi menaja TRW.

 

Bagaimanapun, Annuar menafikan kedua-dua agensi itu dipaksa menaja pasukan berkenaan, sekali gus menolak kemungkinan wujud salah guna kuasa.

 

Ditanya sama ada laporan mengenai isu terbabit akan dibuat terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Yusof berkata langkah itu belum dibincangkan.

 

Beliau berkata MARA sebaliknya berhasrat menyelesaikan siasatan dalaman berkenaan sebelum mengemukakan sebarang laporan rasmi kepada SPRM.

 

“Biarlah kita buat siasatan dalam rumah sendiri dulu sebelum ajukan perkara ini kepada SPRM jika mendapati wujud salah guna membabitkan Annuar. Annuar sudah dimaklumkan mengenai keputusan ini dan beliau akur supaya siasatan berhubung isu terbabit perlu dijalankan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.