Selangor Catat Negeri Tertinggi, Paling Ramai Bankrap

Kuala Lumpur – Selangor dilaporkan menjadi negeri yang penduduknya paling ramai muflis atau bankrap sepanjang tahun lalu, berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi.

 

Negeri paling maju di Malaysia itu merekodkan 6,668 kes bankrap daripada keseluruhan 22,305 kes di seluruh negara, sepanjang tahun lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

 

Kuala Lumpur menyusul dengan 3,279 kes, diikuti Johor (2,699 kes), Pulau Pinang (1,579 kes) dan Kedah (1,076 kes), katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Dari segi kerjaya, Nancy menjelaskan, pekerja sektor swasta merupakan golongan paling ramai menghadapi kes kebankrapan, dengan sebanyak 47,403 kes direkodkan sepanjang 2007 hingga 2014, diikuti peniaga (17,024 kes), pekerja sendiri (9,837 kes), profesional (5,295) dan sektor awam (3,959 kes).

 

Antara punca utama yang menyumbang kepada kebankrapan ialah kes sewa beli kenderaan yang meningkat dengan ketara sejak 2007 hingga tahun lalu, iaitu 39,082 kes.

 

Ini diikuti pinjaman perumahan dan peribadi yang masing-masing mencatatkan 25,616 kes dan 24,041 kes, sejak 2007 hingga 2014.

 

Berdasarkan data Jabatan Insolvensi, jumlah kes kebankrapan yang direkodkan sejak 1924 hingga tahun lalu adalah 265,564 kes.

 

Lebih separuh daripada jumlah itu, iaitu sebanyak 144,474 kes direkodkan sepanjang 2007 hingga 2014.

 

Menurut Nancy, peningkatan kes bankrap dilihat ketara sejak 2007, dengan 13,238 kes direkodkan, meningkat kepada 13,855 kes pada 2008, 16,228 kes (2009), 18,119 (2010), 19,167 (2011), 19,575 kes (2012) dan 21,987 kes (2013).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.