Pelayan Restoran Rentung Dalam Kemalangan

Subang Jaya – Seorang pelayan restoran rentung dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di sini awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kemalangan itu berlaku di kawasan perumahan Court 6, USJ 8 kira-kira pukul 3.15 pagi.

 

“Siasatan awal mendapati mangsa yang dikenali sebagai Muhamad Nadir Ismail, 23, dipercayai sedang memandu pulang ke kawasan rumahnya sebelum kenderaan yang dipandunya hilang kawalan dan melanggar empat buah kenderaan lain yang diletakkan berhampiran tepi jalan.

 

“Akibat kemalangan itu, dua kenderaan termasuk kereta yang dipandu lelaki itu terbakar. Mangsa dipercayai tidak dapat menyelamatkan diri berikutan tersepit dalam kenderaannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Mayat mangsa di bawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

 

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul mengesahkan pihaknya menerima panggilan berkenaan insiden itu pukul 3.05 pagi dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

 

Sebanyak 10 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Subang Jaya dikerahkan ke lokasi untuk membantu mengawal dan memadam api daripada dua buah kenderaan yang terbakar akibat kemalangan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.