Khir Anggap Dirinya Bertuah Dapat Saksikan Bapa Berkahwin Semula

Kuala Lumpur – Pelakon dan pengarah, Khir Rahman bersyukur dan gembira apabila bapanya, Datuk A Rahman Hassan kembali menjalani kehidupan yang baik selepas bernikah dengan pelakon Fadilah Mansor pada 25 Disember lalu.

 

Menurutnya, dia seperti anak yang bertuah apatah lagi menyaksikan bapanya berkahwin semula yang disifatkan suatu pengalaman yang jarang berlaku pada mereka yang bergelar anak.

 

“Abah seorang yang sangat tabah tetapi saya boleh katakan semenjak ketiadaan mak, dia agak murung. Memang susah nak tengok abah menangis.

 

“Namun, kalau kami solat jemaah anak beranak, ketika berdoa abah menangis. Walaupun dia cuba tahan tapi apabila mendengar suaranya kami adik-beradik tahu yang dia menangis dan kami ikut menangis sama.

 

“Pada usia 68 tahun, dia juga diuji. Semenjak mak tiada, rumah saya tidak putus makanan. Ada saja perempuan yang datang ke rumah menghantarkan makanan. Abah jenis yang tidak boleh cakap tidak dan dia sangat berlembut orangnya.

 

“Agaknya dia pun sendiri runsing tetapi yang peliknya, dalam ramai perempuan itu, yang seorang (Fadilah) ni saja yang bukan datang pada abah sebaliknya, abah sendiri yang mulakan dulu,” katanya ketika ditemui pada malam tayangan filem terbaru arahannya bersama Sein (Ruffedge) berjudul Banggunan, baru-baru ini.

 

Sebagai anak, pelakon filem Lelaki Harapan Dunia ini menyifatkan dirinya kini kembali mempunyai tempat bermanja juga sebagai rujukannya sebelum melakukan apa saja dalam kehidupannya.

 

Seperkara lain yang membuat hatinya tersentuh apabila ciri-ciri yang ada pada ibu tirinya itu mempunyai banyak persamaan dengan arwah ibunya. Begitupun, dia masih lagi melatih diri menganggap Fadilah seperti mana ibu kandungnya.

 

“Seorang ibu kadang-kadang lebih handal daripada pemikiran kita sebagai anak. Naluri dia sebagai ibu itu boleh rasa sama ada sesuatu yang kita buat itu betul atau tidak. Sejak ketiadaan arwah ibu, saya hilang tempat rujukan.

 

“Namun, sekarang dengan adanya mak baru, saya jadi lebih yakin. Lagipun, ada sifat beliau banyak persamaan dengan mak seperti mak boleh menari dan beliau pun boleh menari.

 

“Apapun, beliau tak sama macam mak sebenar dan beliau tidak boleh ganti mak. Susah tetapi kami sedang melatih diri menerima dia sebagaimana mak betul. Ini satu pengalaman baru pada kami adik-beradik dan kami cuba membiasakan diri,” tuturnya sambil menahan sebak.

 

Sebulan Alami Fobia

 

Sementara itu, berkongsi tentang filem Banggunan, karya terbaru kali ini adalah sebuah doku-filem berdasarkan kisah benar. Hampir 80 peratus visual dalam filem tersebut merupakan visual sebenar yang dirakamkan sepanjang penggambaran yang dijalankan sekitar hujung tahun 2013.

 

Jelasnya, sebetulnya dia bersama Sein ingin menghasilkan sebuah filem berjudul Garang. Ketika proses pembikinan filem itu, mereka memilih secara rawak beberapa individu yang mengetahui tentang kisah seram yang sebenar.

 

Hinggalah mereka mendengar dua cerita daripada dua individu berlainan tentang kisah seram masing-masing dan penceritaan dua individu itu secara kebetulan berkait dengan satu bangunan sama.

 

Lantas, Khir merasakan kisah seram berkenaan menjadi sesuatu yang menarik lalu timbul idea untuk menyiasat misteri sebenar di bangunan tersebut dan dijadikan sebuah filem paranormal.
Menerusi bantuan Yusran iaitu seorang pengamal aktiviti paranormal, Khir bersama Sein dan kru produksi nekad memulakan penggambaran di bangunan tersebut tetapi sewaktu penggambaran dijalankan Khir melalui satu pengalaman menyeramkan.

 

Kesan daripada itu, dia mengalami perasaan fobia selama sebulan.

 

Pada malam kedua penggambaran, ketika Sein dan kru lain sedang berusaha masuk ke kawasan berkenaan sebelum menyedari Khir berdiri menghadap ke kawasan pagar dan seperti sedang berbual dengan ‘seseorang’.

 

“Pada malam itu, sebaik saja turun daripada van, saya nampak kawasan di belakang kami dan pada saya kawasan untuk menarik kalau dirakamkan. Jadi, saya pun terus beritahu Sein syot visual yang saya inginkan.

 

“Tapi sebenarnya saya bercakap seorang diri dan menyedarinya selepas mendengar Sein menjerit nama saya. Terus saya hairan kerana saya memang pasti bercakap dengan Sein ketika itu rupanya tidak.

 

“Kesan daripada pengalaman itu, saya jadi psiko lebih kurang sebulan. Maksudnya, bila saya naik kereta saya takut, macam ada benda belakang saya.

 

“Bila saya naik motor saya rasa macam ada orang bonceng saya. Saya tak tahu, itu mungkin perasaan saya saja atau bayangan.Saya ini pembikin filem, jadi saya sentiasa ada imiginasi apatah lagi mengalami pengalaman seram sebegitu yang lebih membuatkan saya senang bayangkan macam-macam.

 

“Tambahan, selama lima bulan untuk menyiapkan filem ini, Yusran selalu bercerita pelbagai kisah seram kepada kami, Jadi mungkin itu sebabnya saya jadi begitu,” katanya.

 

Banggunan diterbitkan menerusi kerjasama produksinya iaitu Suar Channel berkerjasama dengan produksi milik Sein, Aqasha dan Zain (Ruffedge) iaitu Camwerk Studios. Filem ini bakal menjengah pawagam seluruh tanah air mulai 5 Februari 2015. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.