Istana Budaya Ikut Trend, Tampilkan Bintang Ternama Sebagai Tarikan

Kuala Lumpur – Meskipun Istana budaya (IB) sentiasa dikritik kerana seringkali menampilkan bintang popular berbanding pengkarya yang lebih cenderung kepada seni budaya dan teater tetapi langkah itu terpaksa diambil demi menarik orang ramai datang menonton pementasan di pentas panggung berprestij itu.

 

Berdasarkan statistik tahun 2013 sebanyak 33 persembahan dipertontonkan dengan jumlah seramai 125,465 penonton. Kutipan jualan tiket pula mencatatkan RM9.3 juta ringgit secara keseluruhan.

 

Menurut pengarahnya, Datuk Mohammed Juhari Shaarani, IB terpaksa mengikut trend dibuat broadway menampilkan bintang bernama besar sebagai tarikan.

 

Bahkan, poduksi yang betul-betul layak dan berkemampuan menampilkan sebuah pementasan hebat akan lebih diutamakan untuk mereka merealisasikan karya mereka di pentas Panggung Sari.

 

“Selalunya perkara pertama yang menjadi persoalan orang ramai apabila mahu menonton pementasan di IB ialah mereka tanya siapakah pelakon-pelakonnya?

 

“Sebab itu kami memberi lebih banyak peluang kepada bintang-bintang bernama besar untuk menjayakan sesebuah pementasan teater mahupun konsert kerana mereka ini boleh menarik orang ramai sekaligus meraih kutipan pecah panggung.

 

“Tidak dinafikan pemilihan untuk sesebuah produksi itu juga kami lihat dari segi sama ada produksi itu benar-benar mampu menghasilkan sebuah pementasan teater ataupun penganjuran muzikal. Pementasan teater muzikal antara yang menjadi tarikan umum.

 

“IB juga membuka peluang kepada penganjuran konsert kerana sebelum ini seperti Wings dan Search, mereka datang dengan sesuatu pengisian yang tidak pernah dibuat di konsert mereka yang pernah diadakan di stadium.

 

“Sebenarnya, konsert juga antara yang mampu meraih kutipan tinggi tanpa perlu persediaan yang terlalu lama dan bajet tinggi berbanding pementasan teater muzikal.

 

“Walaubagaimanapun, kita masih memberi peluang kepada produksi baru atau pengkarya seni untuk mereka mempersembahkan teater juga karya mereka di sini.

 

“Pernah kita beri peluang pada 14 produksi baru tetapi di saat akhir mereka tarik diri dan menyebabkan kami tidak sempat mengisi kekosongan slot itu sehingga media melabelkan IB lesu pada ketika itu.

 

“Jadi sejak tahun lalu, kami sudah ada ‘plan B’. Seandainya ada produksi menarik diri di saat akhir, kita akan gantikan dengan pementasan yang diterbitkan pihak IB sendiri atau memberi peluang pada produksi yang masih menunggu giliran,” katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Program Istana Budaya Sepanjang 2015 di Kuala Lumpur, semalam.

 

Turut hadir melancarkan majlis tersebut ialah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

 

Sementara itu, seiring kempen ‘My Fest’ dan Tahun Melawat Malaysia 2015, Juhari berkata, tahun ini IB menyasarkan sebanyak 50 peratus kepada produksi tempatan dan bakinya kepada produksi antarabangsa ke arah menjadikan seni sebagai industri kepada para penggiat seni tanah air.

 

Pementasan produksi seni dari luar negara dijangka mampu menarik minat pelancongan dan khalayak dari negara Asean khususnya Singapura, Brunei dan Indonesia.

 

Antara pementasan menarik yang akan direalisasikan produksi tempatan seperti Puteri Gunung Ledang, Laila Majnun, Muzikal Rock OO, Muzikal Siti Nurhaliza, Dramatari Mata Hati, Taiji Atlas World Tour in Malaysia dan Muzikal Seniman Jalanan.

 

Pementasan dan penganjuran produksi antarabangsa pula yang dijangka tarik perhatian adalah karya filem hebat Indonesia yang akan mementaskan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (versi Malaysia) pada September nanti.

 

Selain itu, pada 23 Februari depan, IB akan menjadi tumpuan barisan artis Bollywood terkenal sempena Anugerah ATN kali ke-9.

 

“Tahun ini, IB akan menampilkan sebanyak lebih 30 persembahan menarik sebenarnya cuma hari ini kita umumkan 27 persembahan kerana ada pementasan yang masih belum mendapat lampu hijau.

 

“Kita beri peluang kepada produksi yang betul-betul datang dengan perancangan mereka yang kita lihat ada ‘wow x-factor’. Misalnya teater muzikal Supermokh antara pementasan yang berjaya malah produksinya Tall Order Production juga berjaya mendapakan sebanyak 16 penajaan.

 

“Ia sesuatu yang perlu dibanggakan untuk sebuah produksi tempatan tetapi untuk enam bulan pertama ini kita juga ada berikan peluang kepada produksi baru.

 

“Antara yang dijangka mendapat sambutan hangat tentulah pementasan Puteri Gunung Ledang yang kali ini tampil dengan persembahan lebih segar dan berbeza. Datuk Siti Nurhaliza datang dengan pakej muzikalnya manakala Mamat Khalid dengan karya Rock OO.

 

“Tahun ini kita beri juga peluang pada orang seni seperti Khalid Salleh. Tahun lalu, beliau tampil dengan persembahan berjudul Jual Ubat di Lambang Sari.

 

“Namun, kali ini beliau akan tampil di Panggung Sari menerusi karyanya berjudul Kena Main menampilkan insan seni tersohor seperti Eman Manan. Pementasan Muzikal Seniman Jalanan juga dijangka cukup menarik kerana ia sebenarnya sebuah muzik tentang perjalanan seni Datuk M Nasir.

 

“Selain itu, IB akan menjadi tumpuan artis-artis Bollywood pada Februari nanti sempena 9th ATN Awards Show. Sebelum ini ia diadakan di Dubai dan Perancis tetapi ini tahun pertama mereka singgah di Asia Tenggara dan Malaysia dipilih sebagai lokasi anugerah ini”, jelasnya.

 

Search Pecah Rekod Awie

 

..

 

Dalam pada itu Juhari juga memaklumkan Konsert Search Live In Istana Budaya 2014 yang berlangsung pada 4 hingga 7 Disember lalu berjaya mencatat persembahan pecah panggung dengan kutipan keseluruhan sebanyak RM1 juta.

 

Sekaligus konsert tersebut memecah rekod konsert Wings Opera Hidup yang pernah diadakan pada sekitar April 2013 juga di tempat sama yang mencatat RM800,000.

 

Bagi Konsert Teaterikal Suara pula berjaya mencatat kutipan sebanyak RM1.2 juta dalam masa 8 hari persembahan.

 

“Pada tahun lalu, Konsert Search berjaya pecah rekod Opera Hidup Wings manakala Search juga pecah rekod apabila tiket RM799 habis dijual.

 

“Mereka juga telah buktikan keberaniaan menjual tiket dengan harga sebegitu secara tidak langsung meraih kutipan tinggi dalam masa 3 hari saja persembahan” katanya. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.