Ikut Pantang Orang Dulu-Dulu, Dedah Selepas 44 Hari

Petaling Jaya – Debaran bergelar bapa semakin dirasai pelakon Fizz Fairuz sementelah isterinya pelakon Almy Nadia sekarang menunggu hari untuk melahirkan anak sulung mereka.

 

Almy yang kini hamil 36 minggu dijangka bersalin pada 27 Februari depan.

 

Akui Fizz, dalam pada dia berasa seronok, timbul juga persoalan dalam dirinya tentang pengalaman sebenar dan keistimewaan menjadi seorang ayah.

 

“Ini kali pertama saya akan menjadi seorang bapa. Selama ini kita dengar banyak cerita dan pengalaman orang lain apabila ada anak kecil kena bangun malam apabila anak menangis atau nak menyusu, kita ibu bapa kena bersengkang mata tidak tidur.

 

“Saya tidak pernah lalui pengalaman macam itu dan saya tertanya, adakah situasi macam itu sama macam kita tidur lewat dan bangun lewat,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran filem terbaru lakonannya, Cicakman 3, semalam.

 

Begitupun, Fizz menyatakan sudah bersedia untuk melalui saat-saat itu. Malah baru-baru ini sebagai persiapan terakhir dia banyak mempelajari tips dan petua tradisional daripada kakak, ibunya juga ibu mertuanya mengenai perihal menyambut kelahiran bayi.

 

“Saya sudah bersedia. Segala persiapan dari segi baju dan katil untuk bayi kami telah pun dibuat.

 

“Saya pun banyak bertanya dan belajar daripada kakak serta ibu saya tentang beberapa perkara antaranya kalau anak menangis tengah malam, kalau dia kembung, kalau dia muak susu apa yang perlu kita buat? Nanti kalau nak azankan dia, di telinga sebelah kiri atau kanan?,” tuturnya.

 

Difahamkan, Fizz dan Almy dijangka akan menimang cahaya mata perempuan. Kata Fizz, buat masa ini dia belum memilih nama anak sulung mereka itu.

 

Sementara itu, Fizz menyatakan dia tidak akan mendedahkan wajah anaknya sehingga tempoh berpantang habis iaitu selama 44 hari.

 

Bukan niat mahu menyorokkan dari diketahui umum tetapi tindakannya itu kerana mengikut amalan dan pantang larang orang dulu-dulu.

 

“Bukan hendak sorok, lagipun sebelum ini kami sudah beritahu yang kami berkahwin, akan timang cahaya mata dan tentunya umum ingin tahu pekembangan seterusnya.
“Memang kami akan kongsikan gambar anak tapi seelok-eloknya bak kata orang tua-tua, biarlah sehingga Almy habis berpantang dulu.

 

“Saya ada bertanyakan kepada doktor, boleh atau tidak bayi yang belum cukup 44 hari kena ‘flash’, doktor kata, terpulang pada kami.

 

“Sama seperti kalau bayi kita kena sakit kuning. Kalau dikampung, ada yang amalkan amalan jemurkan budak itu di tengah matahari pagi. Kata doktor, kadang-kadang kita pun tidak tahu sama ada ‘flash’ itu ada bakteria atau tidak,” katanya.

 

Mengenai kerjaya pula, Fizz bakal muncul menerusi filem Cicakman 3 yang akan ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 12 Mac depan. Dalam filem arahan kerjasama dua pengarah, Yusry Abdul Halim dan Ghaz Abu Bakar itu, Fizz memengang watak sebagai Inspektor Adam.

 

Pertama kali bekerja di bawah arahan Yusry dan kali kedua bersama Ghaz, Fizz menyatakan rasa bertuah kerana terlibat sama dalam filem sekuel Adiwira itu.

 

Namun begitu, ia satu cabaran besar buat dirinya kerana Yusry dan Ghaz masing-masing mempunyai idea kreatif tersendiri mereka yang sangat berbeza. Dalam memenuhi kehendak kedua pengarahnya itu pada awalnya dia sendiri keliru dengan pembawakan wataknya.

 

“Bila saya tanya Yusry, bagaimana watak saya, dia cakap macam ini. Bila tanya Ghaz, dia cakap macam itu pula.

 

“Jadi dalam cerita ini memang saya keliru. Sebagai contoh, saya perlu berada di dua lokasi berbeza.

 

“Dari pukul 8 pagi hingga 6 petang saya perlu berada di lokasi A. Kemudian pukul 6 petang hingga pukul 4 pagi saya perlu berada di lokasi B.

 

“Sebagai pelakon, selalunya kita akan bawa kesinambungan itu daripada awal sampai akhir cerita.

 

“Tapi bila dengan Yusri, dia suruh buat macam ini, bila dengan Ghaz pula dia suruh saya buat lain. Yusry lebih kepada lakonan dan Ghaz pula lebih pada emosi.

 

“Saya ambil masa lebih kurang dua minggu untuk faham rentak mereka. Walaupun ‘sakit’ untuk penuhi kehendak kedua pengarah ini tapi sebagai pelakon saya akur dan satu pengalaman baru dapat bekerja dibawah arahan mereka.

 

“Apabila saya tengok hasilnya sewaktu proses suntingan, baru saya faham dan kagum dengan kreativiti dua pengarah ini,” kongsinya.

 

Perkembangan lain, Fizz baru selesai penggambaran sebuah filem epik sejarah British sekitar 50-an berjudul Long Piah. Filem arahan Syamsul Yusof itu turut dibintangi Aman Graseka dan Fey Qushairi. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.