Hazwan Jadikan Kontroversi Johan Sebagai Panduan

Kuala Lumpur – Pelakon baharu yang juga adik kepada aktor Johan As’ari iaitu Hazwan As’ari menjadikan kontroversi yang menimpa abangnya sepanjang bergelar artis sebagai panduan selepas dia memilih untuk terlibat dalam bidang sama.

 

Memetik kenyataan di mStar online, Hazwan, 26, berkata, dia antara orang yang sentiasa berada di sisi abangnya setiap kali berhadapan dengan kontroversi.

 

“Ketika Johan berhadapan dengan kontroversi dia selalu luahkan perasaan dan minta pendapat saya juga. Apa yang saya lihat ketika kontroversi dengan Lana Nordin memang membuatkan dia down.

 

“Daripada situ saya dapat belajar banyak perkara dan kalau boleh yang baik saya jadikan contoh dan kontroversi buruk tu saya jadikan teladan agar tidak melakukan perkara yang sama,” ujarnya yang muncul menerusi filem pertamanya Puaka Balai Polis.

 

Dalam pada itu, bercerita tentang penglibatannya dalam dunia lakonan, dia yang bakal muncul menerusi filem Puaka Balai Polis berkata dia mula menceburkan diri pada awalnya sebagai pelakon tambahan bersama Johan.

 

Namun, hasrat meneruskan kerjaya lakonan tergendala selepas memilih untuk menyambung pengajian di Akedemi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara)

 

“Saya mula menceburi bidang lakonan bersama-sama Johan ketika itu untuk watak pelakon tambahan sahaja, kemudian pengarah Faisal Ishak mempelawak kami untuk ke uji bakat drama Juvana.

 

“Ketika itu saya tidak dapat datang kerana terpaksa menyambung pengajian di Aswara dan Johan sahaja yang meneruskan impian itu,” ujarnya.

 

Dalam pada itu ibu dan bapanya tidak pernah menghalang dia untuk berada dalam industri seni biarpun terdedah dengan pelbagai kontroversi.

 

Kata Hazwan, kakaknya, Farah Alia merupakan individu pertama yang membuka laluan kepada dia dan Johan untuk berada dalam industri.

 

“Ibu bapa saya tidak pernah menghalang apa yang kami lakukan kerana kakak saya iaitu Farah Alia paling awal berlakon dan kini bekerja di sebuah stesen televisyen.

 

“Selepas itu kami pulak mengikut jejak langkah dia untuk masuk dalam industri,” katanya.

 

Sementara itu, Hazwan berkata, jika tiada rezeki untuk bersaing sebagai pelakon, dia tetap berada dalam industri sebagai tenaga di belakang tabir. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.